Oleh Ema Ery
Diterbitkan pada 16 Julai 2026, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Dexcom Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan SugarSmart Community Changemakers – Social Innovation Program, sebuah inisiatif strategik yang memanfaatkan inovasi sosial untuk meningkatkan kesedaran, pendidikan dan amalan pengurusan diabetes dalam kalangan masyarakat melalui pembangunan bakat mahasiswa, pemindahan ilmu, pelibatan industri serta pelaksanaan projek komuniti.

Menurut YIM dalam satu kenyataan, kerjasama tersebut menggabungkan kepakaran industri, institusi pengajian tinggi dan YIM dalam membangunkan penyelesaian inovasi sosial berimpak tinggi, sekali gus memperkukuh hubungan antara akademia dengan industri bagi melahirkan graduan yang mampu menghasilkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran kesihatan awam.

Program tersebut akan melibatkan 40 orang mahasiswa yang terdiri daripada 20 orang pelajar prasiswazah UiTM dan 20 orang pelajar pascasiswazah USM.

Bermula pada September 2026, para peserta akan mengikuti program pembangunan bakat selama enam bulan yang dimulakan dengan bootcamp intensif selama empat hari, meliputi pensijilan Global Innovation Management Institute (GIMI) Impact Certification, pembentukan pasukan, pembangunan pelan projek serta pembelajaran berasaskan projek.

Seterusnya, para peserta akan melaksanakan projek komuniti dengan bimbingan dan pemantauan berterusan daripada pihak industri sebelum membentangkan penyelesaian inovasi yang dibangunkan pada Januari 2027, diikuti dengan sesi Show and Tell serta Recognition and Award Ceremony pada Februari 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif YIM, YBrs. Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, peningkatan kes diabetes di Malaysia memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dengan menggabungkan kekuatan kerajaan, industri, institusi pengajian tinggi dan komuniti bagi menghasilkan penyelesaian yang mampan serta memberikan manfaat kepada rakyat.

Menurut beliau,

Usaha meningkatkan kesedaran mengenai diabetes perlu disertai dengan perubahan tingkah laku dan amalan gaya hidup yang lebih sihat, manakala inovasi sosial berperanan untuk menggabungkan ilmu, teknologi, kreativiti dan pelibatan komuniti bagi menghasilkan perubahan yang berkekalan.

Beliau turut menjelaskan bahawa YIM sebagai yayasan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan terus berperanan sebagai pemudah cara, pemangkin dan penghubung dalam memperkukuh ekosistem inovasi sosial negara melalui kerjasama strategik antara kerajaan, industri, institusi pengajian tinggi dan komuniti.

Tambah beliau,

Pendekatan Heliks Empat Pihak (Quadruple Helix) akan terus diperkukuh bagi memastikan lebih banyak inovasi sosial dapat dibangunkan, diperluas dan dimanfaatkan secara mampan demi kesejahteraan rakyat.

Pemeteraian MoU tersebut mencerminkan komitmen bersama YIM, Dexcom Malaysia, UiTM dan USM dalam memperkukuh ekosistem inovasi sosial negara melalui kolaborasi rentas sektor yang strategik, inklusif dan mampan, selain berpotensi menjadi model kerjasama pada peringkat nasional untuk melahirkan lebih banyak inovator sosial dalam kalangan belia serta menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi kepada cabaran kesihatan masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi