Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ekzema dan alahan merupakan dua keadaan yang berkait rapat dengan sistem imun, namun kedua-duanya berbeza dari segi gejala, punca dan kaedah rawatan, maka masyarakat perlu memahami perbezaannya bagi mengelakkan salah tanggapan serta mendapatkan rawatan yang tepat.
Demikian penegasan yang disampaikan oleh Ketua Subkepakaran Dermatologi Kementerian Kesihatan Malaysia merangkap Perunding dan Ketua Jabatan Dermatologi Hospital Kuala Lumpur, YBrs. Dr. Azura Mohd Affandi ketika ditemu bual dalam rancangan Apa Khabar Malaysia menerusi saluran Bernama TV.
Menurut beliau,
Ekzema lazimnya menyebabkan kulit menjadi merah dan sangat gatal sehingga pesakit menggaru sehingga berdarah, berair atau bernanah, manakala ekzema kronik pula menyebabkan kulit menjadi tebal dan bersisik.
Alahan pula boleh menyebabkan pelbagai tindak balas seperti mata atau bibir bengkak (angioedema), gegata (urtikaria), malah dalam keadaan serius boleh mencetuskan anafilaksis yang berpotensi mengancam nyawa.
Tambah beliau,
Alahan boleh dicetuskan oleh pelbagai faktor seperti ubat-ubatan, makanan, habuk, debunga, bulu haiwan serta produk yang digunakan pada kulit termasuklah pencuci muka, pelembap, pelindung matahari dan kosmetik, terutamanya bagi individu yang mempunyai kulit sensitif.
Beliau turut menjelaskan bahawa ekzema atopik biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan ditandai dengan ruam merah pada pipi, pelipat siku, belakang tengkuk serta belakang lutut, manakala faktor genetik, cuaca dan persekitaran juga boleh meningkatkan risiko penyakit tersebut.
Beliau menegaskan bahawa tanggapan semua kes ekzema berpunca daripada alahan makanan perlu diperbetulkan kerana hanya sebahagian pesakit mempunyai kaitan dengan makanan seperti makanan laut, telur atau kacang dan tidak semua individu memerlukan ujian alahan.
Jelasnya,
Untuk mengenal pasti punca sebenar, doktor boleh menjalankan ujian darah bagi mengesan alahan terhadap makanan, habuk, debunga atau bulu haiwan, selain ujian tampalan untuk mengesan alahan sentuhan terhadap bahan tertentu seperti kosmetik dan produk penjagaan diri.
Faktor seperti cuaca panas, tekanan emosi dan penggunaan produk yang mengeringkan kulit, termasuklah pensanitasi tangan beralkohol tinggi juga boleh mencetuskan atau memburukkan ekzema.
Mengulas lebih lanjut, penggunaan pelembap secara konsisten, sabun yang lembut serta krim rawatan yang dipreskripsikan oleh doktor amat penting bagi mengawal ekzema, manakala penggunaan krim steroid secara terkawal di bawah pemantauan doktor adalah selamat dan berkesan.
Dalam sesi perkongsian itu juga, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap produk yang mendakwa mampu menyembuhkan ekzema secara semula jadi kerana sesetengah produk mungkin mengandungi bahan aktif tersembunyi yang boleh memudaratkan pengguna.
Beliau berkata, perkembangan perubatan pada masa ini turut menawarkan rawatan moden seperti ubat biologi dan ubat oral yang lebih berkesan untuk membantu pesakit mengawal ekzema, khususnya bagi kes yang serius.