Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh langkah pencegahan dan kawalan demam denggi susulan peningkatan 34.8 peratus kes di seluruh negara.
Menurut KKM dalam satu kenyataan, sebanyak 42 848 kes direkodkan hingga 9 Julai 2026 berbanding dengan 31 790 kes bagi tempoh sama tahun lalu, manakala jumlah kematian meningkat kepada 34 kes berbanding dengan 19 kes pada tahun 2025, iaitu pertambahan sebanyak 78.9 peratus.
Bagi mengekang penularan penyakit, KKM akan terus memperkukuh usaha pencegahan dan kawalan menerusi pendekatan seluruh negara berasaskan prinsip Pengurusan Vektor Bersepadu yang merangkumi pengukuhan survelan penyakit dan entomologi, pengesanan awal peningkatan kes dan wabak, kawalan vektor, komunikasi risiko, pemerkasaan komuniti, penguatkuasaan perundangan serta pemantauan berterusan terhadap keberkesanan intervensi.
Analisis epidemiologi menunjukkan hampir dua pertiga (63.5 peratus) daripada keseluruhan kes tertumpu di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dengan Selangor merekodkan 19 313 kes, meningkat 43.2 peratus, manakala Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 7909 kes, iaitu peningkatan sebanyak 83.8 peratus berbanding dengan tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan kes turut direkodkan di Johor, Sabah, Negeri Sembilan, Perak, Sarawak, Perlis, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan, sekali gus mengekalkan Lembah Klang sebagai kawasan tumpuan utama penularan yang memerlukan pelaksanaan langkah kawalan secara lebih intensif dan bersepadu.
Menurut KKM, peningkatan kes semasa adalah sejajar dengan pola epidemiologi demam denggi yang lazimnya bersifat berkitar, dengan wabak besar yang biasanya berlaku setiap tiga hingga lima tahun di negara endemik, namun tempoh penularan dan magnitud wabak berbeza mengikut keadaan epidemiologi, persekitaran dan iklim setempat.
Peningkatan berkala kes turut dipengaruhi oleh perubahan tahap imuniti penduduk, peralihan dominasi serotaip virus denggi, keadaan cuaca seperti hujan, suhu dan kelembapan yang menggalakkan pembiakan nyamuk aedes, selain faktor urbanisasi, pergerakan penduduk, keadaan persekitaran, kewujudan bekas takungan air serta keberkesanan aktiviti kawalan vektor dan pelibatan aktif masyarakat dalam menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.
Walaupun beberapa negeri menunjukkan penurunan kes berbanding dengan tempoh sama tahun lalu, KKM menegaskan bahawa semua negeri perlu terus memperkukuh usaha pencegahan dan kawalan secara konsisten kerana situasi demam denggi boleh berubah dengan pantas bergantung pada faktor epidemiologi, persekitaran dan cuaca.
KKM turut menyeru semua pihak termasuklah komuniti, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, institusi pendidikan, majikan, sektor swasta dan orang ramai supaya berganding bahu untuk memastikan persekitaran bebas daripada tempat pembiakan nyamuk aedes, melaksanakan aktiviti pembersihan secara berkala serta mendapatkan pemeriksaan awal sekiranya mengalami gejala demam denggi bagi mengurangkan risiko komplikasi dan kematian.