Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Gusi berdarah tidak boleh dianggap sebagai masalah biasa kerana keadaan itu merupakan petanda awal penyakit gusi yang berpotensi meningkatkan risiko pelbagai komplikasi kesihatan jika tidak dirawat dengan segera.
Demikian perkara yang ditegaskan oleh Pakar Pergigian dan Pensyarah Pergigian Periodontik, Pusat Pengajian Pergigian, Universiti Teknologi MARA, YBrs. Dr. Hafizul Izwan Mohd. Zahari dalam sesi temu bual yang disiarkan menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran Radio Televisyen Malaysia, semalam.
Menurut beliau, kesihatan mulut merupakan pintu masuk kepada kesihatan tubuh secara keseluruhan kerana bakteria daripada gusi yang mengalami keradangan boleh memasuki saluran darah, sekali gus memburukkan keadaan penyakit seperti penyakit jantung dan diabetes.
Beliau menjelaskan bahawa gusi berdarah berlaku apabila bakteria atau plak terkumpul di sekeliling gusi akibat penjagaan kebersihan mulut yang tidak sempurna sehingga menyebabkan gusi menjadi bengkak dan mudah berdarah, terutamanya ketika memberus gigi.
Katanya,
Saluran darah pada bahagian mulut bersambung dengan seluruh tubuh, maka bakteria yang memasuki aliran darah melalui gusi yang cedera berpotensi mencetuskan keradangan pada saluran darah dan mempercepat pembentukan plak yang boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular.
Masalah gusi bukan penyebab langsung kepada penyakit jantung, tetapi boleh memburukkan keadaan sedia ada dan meningkatkan risiko komplikasi kesihatan.
Dalam sesi temu bual itu juga, beliau turut berkongsikan pengalaman merawat seorang pesakit yang mengalami gusi berdarah berpanjangan walaupun telah menerima rawatan pergigian sebelum dirujuk ke bahagian perubatan dan disahkan menghidap kanser tulang, sekali gus menunjukkan bahawa gusi berdarah yang berlarutan tidak wajar dipandang ringan.
Ujarnya,
Keadaan menjadi lebih serius apabila gusi berdarah berlaku secara spontan seperti ketika tidur sehingga darah terkumpul di dalam mulut kerana keadaan itu menandakan kerosakan telah melibatkan tulang penyokong gigi dan tisu di sekelilingnya.
Beliau menasihati orang ramai supaya mendapatkan pemeriksaan di klinik pergigian sebaik sahaja mengalami gejala gusi berdarah tanpa perlu menunggu sehingga gigi menjadi longgar atau timbul rasa sakit kerana penyakit gusi biasanya berkembang tanpa kesakitan pada peringkat awal.
Pemeriksaan pergigian secara berkala setiap enam bulan juga dapat membantu mengesan masalah lebih awal, sekali gus membolehkan rawatan diberikan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Beliau juga menyatakan bahawa kekerapan memberus gigi semata-mata tidak menjamin kesihatan gusi kerana teknik memberus, tempoh memberus, pemilihan berus gigi dan ubat gigi yang sesuai turut memainkan peranan penting dalam mencegah penyakit gusi.
Tambah beliau, bagi kes yang masih belum serius, rawatan seperti root surface debridement, iaitu prosedur pembersihan akar gigi secara mendalam di bawah bius boleh dilakukan bagi memulihkan kesihatan gusi tanpa perlu mencabut gigi.
Beliau turut menjelaskan bahawa wanita hamil lebih mudah mengalami gusi berdarah akibat perubahan hormon, namun masih boleh mendapatkan rawatan pergigian mengikut kesesuaian tempoh kehamilan, dengan trimester kedua lazimnya merupakan tempoh paling sesuai untuk menjalani rawatan bukan kecemasan.