Diterbitkan pada 2 Julai 2026, 09:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia dan Thailand memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian dan agromakanan serta berusaha menangani pelbagai isu perdagangan membabitkan kedua-dua negara menerusi mesyuarat dua hala antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dengan Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, TYT Suriya Jungrungreangkit.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Malaysia membangkitkan beberapa isu perdagangan yang melibatkan produk pertanian, termasuklah sekatan eksport udang Malaysia ke Thailand, pemeriksaan ketat terhadap eksport ikan siakap serta permohonan akses pasaran produk ternakan ke Thailand yang masih tertangguh sejak tahun 2024.

Mesyuarat itu turut membincangkan justifikasi sekatan sementara Malaysia terhadap import lima jenis udang dari Thailand yang dilaksanakan berdasarkan penilaian teknikal dan risiko semasa bagi memastikan biosekuriti serta keselamatan makanan negara terus terpelihara.

Malaysia memaklumkan bahawa sekatan tersebut akan kekal hingga penilaian lanjut selesai dilaksanakan, termasuklah kemungkinan penilaian di lapangan, perbincangan teknikal mengenai keperluan import serta pengaturan pensijilan kesihatan, namun kedua-dua negara bersetuju meneruskan rundingan bagi mencapai penyelesaian yang memberikan manfaat bersama.

Dalam pertemuan itu, Malaysia turut meminta Thailand memudahkan fasilitasi perdagangan produk pertanian yang menggunakan laluan ASEAN Rapid Transit System, khususnya melalui pengeluaran permit khas Jabatan Pertanian Thailand bagi meningkatkan kebolehpasaran produk pertanian Malaysia ke China, termasuklah durian.

Kedua-dua negara turut menegaskan kepentingan mengekalkan komunikasi yang terbuka, telus dan pantas antara pihak berkuasa berkaitan serta memperkukuh kerjasama teknikal dan perdagangan dalam sektor pertanian dan agromakanan demi manfaat bersama sebagai negara jiran dan anggota ASEAN.

Hubungan perdagangan produk pertanian dan agromakanan Malaysia–Thailand terus mencatatkan perkembangan positif dengan nilai perdagangan mencecah RM20.33 bilion bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, iaitu melibatkan eksport utama Malaysia seperti kopi, koko, teh, rempah-ratus dan produk makanan diproses, manakala import utama dari Thailand terdiri daripada daging dan produk berasaskan daging.

Pada akhir pertemuan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menyampaikan undangan rasmi kepada Thailand untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung dari 28 Ogos 2026 hingga 6 September 2026 yang bertemakan “Penciptaan Nilai demi Keterjaminan Makanan”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi