Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMiri — Sebanyak 16 orang belia berjaya menamatkan latihan Scaffolding Tahap 1 anjuran PETRONAS Re-skilling Community Programme (ReCP) di Institut Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Miri, semalam.
Program yang dijalankan hasil kerjasama PETRONAS bersama-sama beberapa agensi dan institusi latihan kemahiran itu dilihat semakin menjadi nadi penting dalam melahirkan tenaga mahir tempatan, khususnya dalam industri minyak dan gas di Sarawak.
Pengarah ADTEC JTM Kampus Miri, Encik Mustal Makmud berkata, program ini bukan sahaja membekalkan kemahiran teknikal, malah turut mendedahkan peserta kepada bidang keusahawanan bagi membantu golongan B40 meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
“Program ini bukan sahaja memberikan pendedahan dalam industri minyak dan gas serta kemahiran teknikal dan keusahawanan, malah membantu masyarakat setempat, khususnya golongan B40 meningkatkan pendapatan isi rumah, sekali gus membangunkan taraf sosioekonomi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutupan ReCP Scaffolding Tahap 1.
Tambahnya, pendidikan dan kemahiran yang dimiliki mampu mengubah kehidupan seseorang, maka keperluan ini perlu menjadi keutamaan dalam kehidupan pada hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa sesuatu program latihan tidak akan bermakna sekiranya peserta tidak memperoleh pekerjaan selepas tamat kursus dan kebanyakan geran latihan kini mensyaratkan penawaran kerja diberikan kepada peserta dalam tempoh tertentu selepas tamat latihan bagi memastikan mereka benar-benar mendapat manfaat untuk jangka masa panjang.
Menurut beliau lagi, kerjasama antara PETRONAS dengan institusi latihan kemahiran di Miri telah terjalin sejak tahun 2008 yang merangkumi pelbagai program pembangunan modal insan termasuklah dalam bidang pemasangan gas.
ReCP merupakan inisiatif strategik PETRONAS yang bertujuan untuk menyediakan latihan asas teknikal dan keusahawanan kepada masyarakat di sekitar kawasan operasi industri minyak dan gas di seluruh Sarawak, sekali gus menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.