Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung dengan kes semakan kehakiman berkaitan aspek prosedur dalam perintah pengecualian cecair atau gel nikotin daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952.
Berdasarkan kenyataan media KKM yang dikeluarkan semalam menjelaskan bahawa keputusan mahkamah tersebut mencerminkan sistem semak dan imbang yang sihat di dalam negara sekali gus menunjukkan keprihatinan pelbagai pihak termasuk rakyat, pertubuhan masyarakat sivil (NGO) dan pihak berkepentingan terhadap dasar perlindungan kesihatan awam.
Pihak KKM dan NGO berkongsi matlamat yang sama, iaitu untuk memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat Malaysia terus terpelihara.
Sehubungan dengan itu, sebarang keputusan berkaitan dasar kesihatan akan diteliti secara menyeluruh agar selaras dengan kepentingan awam.
Susulan keputusan mahkamah tersebut, KKM memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.
Perbincangan ini bertujuan untuk memperhalusi aspek perundangan, meneliti ruang tindakan undang-undang yang tersedia serta menetapkan langkah susulan yang sewajarnya.
Pada masa yang sama, KKM menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh agenda kawalan tembakau dan produk merokok.
Usaha ini termasuk pemantauan berterusan di bawah Akta 852 bagi melindungi kesihatan rakyat, khususnya golongan kanak-kanak dan generasi muda yang lebih terdedah kepada risiko penggunaan produk berkaitan dengan nikotin.
KKM turut memberikan jaminan bahawa perkembangan lanjut berhubung perkara ini akan dimaklumkan kepada umum secara rasmi selepas proses konsultasi bersama dengan AGC dimuktamadkan.
Kenyataan ini menegaskan pendirian kerajaan untuk memastikan setiap dasar kesihatan awam dilaksanakan secara telus, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira kepentingan semua pihak demi kesejahteraan rakyat Malaysia.