Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Penyertaan Malaysia ke Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-79 (WHA79) menandakan fasa baharu diplomasi kesihatan negara yang beralih daripada resolusi kepada tindakan, sekali gus memberikan impak nyata kepada rakyat.
Berdasarkan kenyatan media dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad telah berlepas ke Geneva, Switzerland bagi mengetuai delegasi KKM dalam WHA79 yang berlangsung hari ini hingga 23 Mei 2026.
Perhimpunan tersebut merupakan acara tahunan yang dihadiri oleh Menteri Kesihatan, pegawai kesihatan serta penggubal dasar dari negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Misi utama penyertaan kali ini adalah untuk menyampaikan kenyataan negara pada 19 Mei 2026 berkaitan dengan isu reformasi kesihatan hendaklah berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat dan akses bantuan kemanusiaan global tanpa gangguan.
Pada perhimpunan tersebut, Malaysia akan membentangkan 18 intervensi strategik yang merangkumi isu kritikal seperti eliminasi malaria, kesihatan mental, penyakit tidak berjangkit serta ekonomi kesihatan.
YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad turut diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucaptama dalam enam forum antarabangsa yang meliputi inisiatif kesihatan paru-paru, kesihatan mata, sains tingkah laku, hepatitis dan penyakit yang jarang-jarang ditemukan pada peringkat global.
Pada peringkat serantau, Malaysia memacu cadangan Deklarasi ASEAN mengenai Penyakit Jarang Jumpa bagi membantu pesakit, khususnya kanak-kanak untuk mendapatkan diagnosis awal dan akses kepada rawatan pakar.
Kerajaan turut memperkukuh usaha kesihatan awam melalui pelaksanaan National Blueprint for Behavioural Sciences sebagai panduan strategik dalam membentuk perubahan tingkah laku masyarakat.
Inisiatif ini memberikan penekanan kepada Strategi “Perang 5S”, iaitu gula, garam, asap, stigma dan gaya hidup pasif bagi menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit di negara ini.
Sementara itu, misi diplomatik tersebut turut diperkukuh melalui pertemuan dua hala dengan Sepanyol yang bertujuan untuk mengadaptasi sistem pendermaan organ terbaik dunia.
Pertemuan dengan Singapura, Vietnam dan Bangladesh juga diadakan bagi membincangkan inisiatif kesihatan digital dan keselamatan kesihatan serantau.
Malaysia terus membuktikan keberkesanan sistem penyampaian kesihatan negara di mata dunia melalui pengiktirafan antarabangsa sebagai model kajian kes global oleh pertubuhan Medicines Patent Pools.
Secara keseluruhannya, KKM kekal komited di bawah kerangka Malaysia MADANI untuk membina sistem kesihatan yang lebih adil, saksama, moden dan inklusif demi kesejahteraan rakyat Malaysia.