Diterbitkan pada 13 Mei 2026, 16:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) terus memperkukuh kerjasama strategik antarabangsa dalam usaha memacu agenda ekonomi hijau negara menerusi pertemuan bersama dengan delegasi US-ASEAN Business Council (USABC).

Berdasarkan siaran media yang dikeluarkan semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Datuk Seri Dr. Arthur Joseph Kurup menyatakan bahawa pertemuan tersebut menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan antara Malaysia dengan sektor swasta Amerika Syarikat, khususnya dalam menyokong pelaksanaan Rang Undang-undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) serta Dasar Pasaran Karbon Negara.

Menurut beliau, Malaysia kekal komited untuk mencapai aspirasi pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawal tahun 2050.

Pada masa yang sama, perkembangan terkini berkaitan dengan penggubalan RUUPIN yang dijadualkan akan dibentangkan di Parlimen pada Jun 2026 dijangka menjadi asas penting kepada tadbir urus perubahan iklim negara.

Presiden Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif USABC, TYT Duta (B) Brian D. McFeeters, turut menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif RUUPIN dan menyifatkan langkah tersebut sebagai pemangkin kepada peningkatan keyakinan pelabur antarabangsa melalui kepastian kawal selia yang lebih jelas.

Ketika perbincangan itu, pihak industri menggesa Malaysia memainkan peranan sebagai peneraju dalam menyelaraskan polisi karbon pada peringkat ASEAN.

Langkah ini dianggap kritikal bagi memperkemas perdagangan rentas sempadan serta menggalakkan integrasi pasaran karbon serantau yang lebih efisien.

Selain itu, turut dikemukakan cadangan agar hasil kutipan cukai karbon disalurkan secara telus kepada projek konservasi, inisiatif mitigasi iklim serta dana pembangunan teknologi hijau bagi memastikan impak positif yang dapat diukur terhadap alam sekitar.

Kerajaan juga menegaskan bahawa peranan NRES sebagai pemudah cara amat penting bagi memastikan kerjasama erat antara sektor awam dengan swasta terus diperkukuh, sekali gus menjamin peralihan hijau negara yang adil, inklusif dan praktikal.

Sebagai langkah susulan, NRES bersama dengan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) akan mempelawa syarikat ahli USABC untuk menyertai International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference (IGEM 2026) pada Oktober ini bagi meneroka peluang penerbitan dalam teknologi rendah karbon.

Delegasi USABC yang disertai oleh 22 buah syarikat global termasuk International Business Machines Corporation (IBM) dan Micron Technology dan Boeing turut menyatakan kesediaan mereka untuk menyumbang kepakaran teknikal bagi menyokong peralihan hijau Malaysia secara berkesan dan kos efisien.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi