Diterbitkan pada 13 Mei 2026, 14:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Temerloh – Profesion kejururawatan diangkat sebagai manifestasi tertinggi nilai ihsan, empati dan kasih sayang dalam sistem kesihatan negara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Berucap ketika Majlis Peluncuran Jelajah Wira MADANI 2026 di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa jururawat bukan sekadar pelaksana tugas klinikal, sebaliknya merupakan nadi penting yang menghidupkan perkhidmatan kesihatan melalui sentuhan kemanusiaan dan keprihatinan terhadap pesakit.

Beliau berkata peranan jururawat hari ini jauh berkembang melangkaui batasan tradisional, merangkumi kepakaran teknikal, ketepatan tindakan serta kepekaan tinggi dalam memantau keadaan pesakit.

“Ilmu perubatan bukan hanya tertulis dalam jurnal, tetapi hidup pada ketepatan tangan yang melakukan rawatan dan ketajaman mata yang memantau setiap denyut nadi pesakit. Itulah keistimewaan jururawat kita,” ujar beliau.

Menurut beliau, sambutan Hari Jururawat Sedunia yang diraikan pada setiap 12 Mei bukan sahaja mengiktiraf sumbangan tokoh kejururawatan moden seperti Florence Nightingale, malah turut mengangkat figura Islam, iaitu Rufaidah Sa’ad sebagai perintis kejururawatan dan perubatan lapangan.

Sehubungan dengan itu, Anugerah Tokoh Rufayda diperkenalkan bagi menghargai petugas jururawat yang menunjukkan kecemerlangan dan dedikasi tinggi dalam perkhidmatan mereka.

Pada masa yang sama, kerajaan komited untuk memperkukuh kebajikan jururawat melalui beberapa inisiatif termasuk semakan semula insentif perkhidmatan kritikal, elaun kepakaran pos asas serta peluasan elaun bertugas selepas waktu pejabat dan elaun bersedia untuk kes kecemasan (on-call).

Beliau turut menegaskan kepentingan keseimbangan kerja dan kehidupan bagi memastikan jururawat terus berkhidmat dalam keadaan fizikal dan emosi yang baik.

“Seorang wira yang keletihan tidak mampu memberikan perkhidmatan terbaik. Kita mahu jururawat pulang sebagai insan yang bahagia dan kembali bertugas dengan tenaga baharu,” ujarnya.

Beliau turut memberikan jaminan bahawa dasar Kementerian Kesihatan adalah inklusif dan akan terus memperjuangkan kebajikan semua petugas kesihatan tanpa mengira skim perkhidmatan.

Program Jelajah Wira MADANI 2026 yang bermula di HoSHAS menjadi simbol penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan barisan hadapan, khususnya jururawat yang sentiasa memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi