Diterbitkan pada 12 Mei 2026, 09:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pahang — Keheningan Kampung Orang Asli Pantos, Pos Lanai, Kuala Lipis diceriakan dengan kehadiran mahasiswa dalam program Harmoni Satu Bumi 2.0 anjuran Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Universiti Kebangsaan Malaysia yang menyaksikan sinergi erat antara 38 orang mahasiswa, pihak pentadbiran kolej dan kira-kira 1000 penduduk setempat dalam satu wadah kemasyarakatan yang cukup berimpak pada 9 Mei lalu.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Dr. Ramli Dato’ Mohd Nor, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands. Kehadiran beliau bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan komitmen jitu pelbagai pihak dalam memacu kesejahteraan dan memperkasakan pembangunan komuniti orang asli secara inklusif.

Mengangkat tema “Tangan Mahasiswa, Nadi Komuniti”, program ini menjadi jambatan yang menyatukan dunia akademik dengan realiti masyarakat melalui pengisian berteraskan kesihatan, pendidikan dan sukan selain memberikan ruang kepada mahasiswa untuk mendalami erti kebersamaan dalam suasana penuh kekeluargaan.

Menurut Pengarah Program Harmoni Satu Bumi 2.0, Nurnabilah Huda Epri, tunjang utama program ini adalah untuk menekankan aspek kesedaran kesihatan kepada komuniti setempat melalui pendekatan interaktif di samping menerapkan semangat kesukarelawanan mahasiswa.

Aspek kesejahteraan kanak-kanak turut diberikan penekanan menerusi Kempen Gosok Gigi dan Cuci Tangan yang dijalankan secara interaktif bersama-sama mahasiswa KTSN bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan kebersihan diri sejak usia dini, selain program Celik Kreatif menggunakan kit STEM sumbangan Yayasan MR D.I.Y yang berjaya merangsang minat serta pemikiran kritis kanak-kanak terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

Muhammad Hazim Kamrularipin bersama dengan Irahza Nur Haziqah Azhari mengajarkan cara mencuci tangan dengan betul.

Kemeriahan program terus memuncak menerusi pelbagai aktiviti riadah seperti senamrobik dan pertandingan futsal persahabatan, manakala suasana dewan turut dipenuhi gelak tawa kanak-kanak yang menyertai permainan tradisional seperti rebut kerusi dan cari gula-gula dalam tepung, sekali gus mengeratkan lagi ikatan ukhuwah yang terjalin.

Keunikan program ini terserlah menerusi aktiviti Saji Satu Hati apabila tradisi rewang atau gotong-royong menyediakan juadah makan tengah hari dijadikan medan interaksi utama antara mahasiswa dengan masyarakat setempat, sekali gus memberikan peluang kepada peserta untuk menyelami kearifan tempatan serta memahami budaya dan adat resam masyarakat orang asli dalam suasana harmoni.

Kerjasama yang jitu antara mahasiswa dengan penduduk kampung dipamerkan dalam tradisi rewang, Saji Satu Hati.

Secara keseluruhannya, inisiatif ini bukan sekadar aktiviti bermusim, tetapi merupakan satu langkah murni dalam melahirkan mahasiswa yang holistik dan cakna terhadap keperluan sosial. Semangat kesukarelawanan yang dizahirkan di Pos Lanai ini diharapkan terus menjadi inspirasi dalam membina masyarakat yang lebih prihatin dan bersatu padu pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi