Diterbitkan pada 11 Mei 2026, 11:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Malaysia bukan sahaja mahu menarik pelabur asing yang besar, tetapi turut mahu memastikan syarikat tempatan turut mendapat habuan yang setimpal daripada pelaburan tersebut, terutamanya dalam industri cip komputer atau semikonduktor.

Demikian tegas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), YBhg. Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, ketika berucap di forum berkaitan dengan ekosistem semikonduktor negara yang diadakan bersempena dengan SEMICON Asia Tenggara 2026 di sini.

Bagi mencapai matlamat itu, MIDA menjalankan tiga program utama, termasuklah Program Rantaian Bekalan MIDA yang menghubungkan syarikat multinasional besar secara langsung dengan pembekal tempatan yang layak.

Sebagai contoh, melalui Program Vendor Infineon, syarikat Malaysia berjaya meningkatkan kemahiran mereka daripada kerja asas kepada tugas yang lebih rumit seperti membuat peralatan berketepatan tinggi dan peralatan ujian automatik.

Selain itu, MIDA turut melancarkan kempen #InvestLokal bagi memperkenalkan kejayaan usahawan tempatan dalam platform digital supaya lebih ramai usahawan kecil dan sederhana terdedah kepada peluang yang ada.

Pada majlis yang sama, MIDA menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) bagi memperkukuh kerjasama antara kedua-dua pihak dalam menilai kemampuan syarikat tempatan untuk menjadi pembekal kepada pelabur besar.

Turut dilancarkan pada forum tersebut ialah Malaysia Advanced Packaging Consortium, sebuah konsortium baharu dalam industri pembungkusan cip canggih dengan ahli pengasasnya terdiri daripada SkyeChip, Fusion AP, Inari Pentamaster dan NSW Automation, satu langkah yang dilihat dapat mengangkat nama Malaysia dalam peta industri semikonduktor global.

YBhg. Datuk Sikh Shamsul Ibrahim turut menekankan hubungan semakin rapat antara industri semikonduktor dengan sektor automotif, khususnya dalam pembangunan kenderaan elektrik dan teknologi pemanduan pintar, sebagai peluang besar yang perlu direbut oleh Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi