Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKajang – Sebanyak 39 orang peserta menyertai Kursus Pengurusan Sisa Radioaktif yang Sistematik dan Selamat di Makmal anjuran Bahagian Teknologi Perubatan (BTP), Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) bagi memperkukuh kompetensi pengendalian sisa radioaktif secara cekap, selaras dengan piawaian keselamatan radiologi antarabangsa demi menjamin kelestarian teknologi nuklear dan keselamatan biologi negara.
Kursus ini menampilkan modul komprehensif yang merangkumi rantaian pengendalian, pengasingan, pelabelan hingga pelupusan akhir dengan penekanan terhadap prinsip As Low As Reasonably Achievable (ALARA) bagi memastikan dedahan radiasi diminimumkan melalui kawalan masa, jarak dan perisai.
Penceramah kursus, Puan Manisah Saedon merangkap Penyelia Sinaran di BTP menjelaskan keberkesanan sistem pengurusan sisa bergantung pada peranan proaktif penyelia sinaran, termasuklah memastikan pematuhan peraturan, memantau keselamatan radiologi dengan menggunakan alat pengesan, menyelaras pengurusan sisa secara sistematik, menyediakan latihan teknikal serta melaksanakan audit dan pemeriksaan berkala di kawasan terkawal.
Kepentingan pematuhan prosedur turut diperjelas melalui analisis insiden Goiânia di Brazil pada tahun 1987 yang berpunca daripada kegagalan mengurus sisa peralatan perubatan terbiar sehingga mencetuskan bencana radiasi, sekali gus mengingatkan petugas agar tidak berkompromi terhadap Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).
Untuk menilai tahap kefahaman, sesi kuiz interaktif diadakan dan keputusan menunjukkan para peserta berjaya menjawab dengan cemerlang, sekali gus membuktikan peningkatan kompetensi dalam menggunakan teori keselamatan ke dalam situasi praktikal makmal.
Pengarah BTP, YBrs. Dr. Zainah Adam dalam sesi perkongsiannya menegaskan bahawa keselamatan radiologi perlu dijadikan budaya kerja berintegriti dan bukan sekadar memenuhi keperluan audit dan regulasi, tetapi sebagai tanggungjawab moral dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat dan lestari untuk generasi akan datang.
