Diterbitkan pada 29 April 2026, 15:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sekumpulan pelajar tahun tiga Sains Bioperubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyertai lawatan lapangan ke Taman Tasik Titiwangsa bagi mengkaji kualiti air dan kesihatan ekosistem tasik bandar melalui kaedah pensampelan mikrobiologi dengan kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Lawatan ini dikendalikan oleh penyelaras kursus Mikrobiologi Persekitaran, YBrs. Dr. Vanitha Mariappan bersama-sama Penolong Pegawai Sains, Encik Muhammad Mu’az Mustamam serta Juruteknologi Makmal Perubatan, Puan Mariahyati Abu Bakar, Puan Nuraini Mamat Rusli dan Puan Hafizah Abdul Rashid untuk memberikan pendedahan praktikal kepada pelajar mengenai teknik pensampelan air dan penilaian kesihatan ekosistem.

Kajian memfokuskan hubungan antara aktiviti manusia dengan faktor semula jadi dalam mempengaruhi kualiti air melalui tujuh lokasi pensampelan yang dipilih secara strategik berdasarkan tahap gangguan manusia serta ciri persekitaran seperti kawasan bertumbuhan akuatik, zon berhampiran dengan tandas awam dan kawasan tanah lembap.

Pelajar menjalankan aktiviti pensampelan air di Taman Tasik Titiwangsa bagi menilai kualiti air dan kesihatan ekosistem tasik bandar dalam kajian mikrobiologi persekitaran.

Sebelum aktiviti pensampelan dijalankan, para pelajar melakukan pemerhatian sistematik melibatkan aspek kehadiran manusia, kejernihan air, kehadiran alga serta kedudukan berhampiran dengan infrastruktur seperti laluan pejalan kaki dan sistem saliran, diikuti dengan pengambilan sampel dengan menggunakan prosedur aseptik ketat dengan botol steril pada kedalaman tertentu bagi mengelakkan pencemaran lapisan permukaan.

Melalui aktiviti ini, para pelajar dapat memahami bahawa tasik bandar merupakan ekosistem kompleks yang sensitif terhadap perubahan persekitaran, yakni kawasan bertumbuhan padat berpotensi bertindak sebagai penapis semula jadi, manakala kawasan beraktiviti tinggi menyumbang kepada peningkatan bahan organik dan mikroorganisma termasuklah bakteria indikator pencemaran.

Kajian mikrobiologi perlu dilihat dalam konteks persekitaran kerana pemerhatian langsung membantu memperkukuh tafsiran data saintifik, selain memupuk kemahiran berfikir kritis dalam mengaitkan faktor ekologi dengan kesihatan awam.

Secara keseluruhannya, lawatan ini berjaya menggabungkan teori dan amali dalam pembelajaran yang lebih bermakna, sekali gus meningkatkan kemahiran teknikal pelajar serta menyemai kesedaran tentang kepentingan menjaga kualiti air dalam persekitaran bandar demi kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi