Diterbitkan pada 24 April 2026, 09:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Usaha mempertingkat keselamatan sinaran terus diperkasakan apabila Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menganjurkan Review Meeting on the Integrated Nuclear Security Sustainability Plan (INSSP) bagi Malaysia dari 20 April 2026 hingga 23 April 2026.

Mesyuarat tersebut menghimpunkan pelbagai pemegang taruh nasional bersama-sama pakar antarabangsa dalam satu platform strategik untuk menilai keupayaan sedia ada serta merangka hala tuju masa hadapan yang lebih tersusun dalam bidang keselamatan sinaran.

Pendekatan ini mencerminkan kesungguhan Malaysia dalam memastikan setiap aspek pengurusan peralatan sinaran, khususnya bahan radioaktif dilaksanakan secara sistematik dan bersepadu.

Suasana INSSP bagi Malaysia yang menghimpunkan wakil dari pelbagai agensi dan pakar antarabangsa dalam usaha memantapkan keselamatan sinaran di Malaysia.

Sebagai pelan strategik yang dibangunkan bersama-sama IAEA, INSSP berperanan sebagai panduan menyeluruh dalam memperkukuh kerangka keselamatan sinaran di Malaysia.

Pelan ini merangkumi enam bidang utama, iaitu dasar dan strategi nasional, perundangan dan kawal selia, pencegahan, pengesanan, tindak balas serta jaminan dan penambahbaikan berterusan.

Sepanjang berlangsungnya mesyuarat tersebut, pelbagai perbincangan teknikal dan penilaian mendalam telah dilaksanakan, termasuklah analisis terhadap Nuclear Security Information Management System (NUSIMS) melalui penilaian kendiri dan hasilnya, pelan sedia ada berjaya dikemas kini, di samping penggubalan Pelan Pelaksanaan INSSP bagi tahun 2026 hingga tahun 2029 yang lebih komprehensif dan berpandangan jauh.

Selain itu, mesyuarat ini turut memperkukuh jalinan kerjasama antara agensi yang terlibat dalam kawalan sempadan, penguatkuasaan undang-undang, tindak balas kecemasan serta sokongan teknikal dan kesepaduan ini menjadi asas penting dalam memastikan sistem keselamatan sinaran di Malaysia kekal teguh dan berdaya tahan.

Sokongan berterusan daripada IAEA turut memainkan peranan penting dalam pembangunan keupayaan negara termasuklah melalui penyediaan peralatan pengesanan sinaran di pintu masuk utama negara, pembangunan kapasiti sumber manusia serta khidmat nasihat pakar dalam merangka garis panduan dan kerangka operasi kebangsaan.

Malaysia turut berperanan sebagai hab serantau bagi peralatan pengesanan sinaran, sekali gus menyumbang kepada usaha memperkukuh keselamatan sekuriti sinaran pada peringkat Asia Pasifik, selain memperlihatkan keupayaan negara dan mengukuhkan kedudukannya dalam landskap kerjasama antarabangsa.

Walaupun Malaysia tidak mengendalikan loji kuasa nuklear, aspek keselamatan sinaran kekal menjadi keutamaan negara, khususnya dalam pengurusan bahan radioaktif dalam bidang perubatan, industri, penyelidikan dan pendidikan.

Segala usaha ini dilaksanakan berlandaskan prinsip keselamatan, sekuriti dan kawal guna bagi memastikan pengurusan bahan nuklear dan radioaktif sentiasa berada pada tahap yang selamat dan terkawal.

Secara keseluruhannya, penganjuran mesyuarat ini menjadi langkah penting dalam memperkukuh sistem keselamatan sinaran negara secara berterusan, sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia dalam menyokong usaha global ke arah penggunaan teknologi nuklear yang selamat dan terjamin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi