Diterbitkan pada 24 April 2026, 10:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hulu Langat – Pasukan Kadet Bomba Daerah Petaling Perdana muncul sebagai johan keseluruhan dalam Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Negeri Selangor Tahun 2026 selepas mengumpul lima kejuaraan utama sepanjang pertandingan berlangsung.

Perkhemahan yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 April 2026 itu telah diadakan di Pusat Kokurikulum Kem Tekali dengan penyertaan daripada 10 daerah seluruh negeri Selangor.

Program tersebut merupakan anjuran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dalam usaha memperkukuh pembangunan sahsiah dan kemahiran kadet.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang Setia PKPjB Dato’ Wan Md Razali Wan Ismail selaku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Program Kadet Bomba dan Penyelamat merupakan platform strategik dalam melahirkan generasi pelapis yang bukan sahaja peka terhadap aspek keselamatan awam, malah memiliki tahap kesiapsiagaan yang tinggi, kecekapan bertindak dalam situasi kecemasan serta semangat setia kawan yang utuh.

Yang Setia PKPjB Dato’ Wan Md Razali Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan.

Ujarnya,

Penganjuran perkhemahan seumpama ini berupaya menterjemahkan ilmu dan latihan yang diperoleh sebelum ini kepada bentuk pelaksanaan praktikal melalui pertandingan yang mencabar dan berimpak tinggi.

Yang Setia PKPjB Dato’ Wan Md Razali Wan Ismail menyatakan bahawa perkhemahan kadet bomba memberikan pendedahan kepada setiap ahli kadet bomba berkaitan dengan ilmu kebombaan yang dipelajari di sekolah sewaktu perjumpaan kokurikulum.

Sebanyak tujuh kategori utama telah dipertandingkan, iaitu Kawad Operasi Kering, ASPEC Challenge, Ikatan dan Simpulan Tali, Brain and Brawn Challenge, Cadet Challenge serta penilaian Khemah Terbaik.

Ikatan dan simpulan tali merupakan satu daripada kategori yang dipertandingan dalam perkhemahan kadet bomba pada kali ini.

Pasukan Kadet Bomba Daerah Petaling Perdana berjaya meraih lima gelaran johan menerusi acara Cadet Challenge (campuran), Brain and Brawn Challenge (lelaki), Brain and Brawn Challenge (perempuan), Ikatan dan Simpulan Tali (campuran) serta Khemah Terbaik (lelaki).

Kekuatan dan ketangkasan menjadi elemen penting sepanjang perkhemahan ini dijalankan.

Selain kejayaan berpasukan, anugerah Kadet Bomba Terbaik kategori lelaki dan perempuan turut dimenangi oleh Kadet Bomba Petaling Perdana, iaitu Kadet Nik Muhammad Qayyum Rozaini dan Kadet Eleanor Cirque Veenusa.

Anugerah jurulatih terbaik turut menjadi milik jurulatih Kadet Bomba Daerah Petaling Perdana hasil bimbingan cemerlang sepanjang perkhemahan tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Tuan Haji Yusaini Salleh.

Kredit Foto: Faiz Yusmi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi