Diterbitkan pada 21 April 2026, 20:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Surabaya – Pelibatan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Program Student Holistic International Networking and Engagement (SHINE) membuktikan bahawa pembelajaran antarabangsa bukan sahaja tertumpu kepada aspek akademik, malah turut memberikan impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat melalui usaha meningkatkan kesedaran komuniti mengenai papilomavirus manusia (HPV) yang menjadi punca utama kanser serviks.

Inisiatif kesedaran ini dilaksanakan di Kampung Nelayan Kedung Cowek, Surabaya dengan kerjasama pihak pentadbiran tempatan dan institusi kesihatan bagi memastikan penyampaian maklumat kesihatan yang bersesuaian dengan keperluan komuniti setempat.

Program tersebut dijalankan melalui sesi perkongsian ilmu dan aktiviti libat sama komuniti yang memberikan tumpuan kepada pemahaman asas berkaitan dengan HPV, termasuklah kaedah penularan, faktor risiko serta kepentingan langkah pencegahan awal.

Perkongsian berkaitan dengan HPV telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Ni Luh Ayu Megasari dari Universitas Airlangga yang menjelaskan bahawa kanser serviks merupakan kanser kedua tertinggi dalam kalangan wanita di Indonesia serta menekankan bahawa kebanyakan kes yang berpunca daripada jangkitan HPV mempunyai risiko yang tinggi dan boleh dicegah melalui pendidikan kesihatan, saringan awal dan vaksinasi.

YBrs. Dr. Ni Luh Ayu Megasari ketika berkongsikan maklumat berkaitan dengan HPV dan pencegahan kanser serviks kepada komuniti.

Pelibatan pelajar USM dalam penyampaian maklumat kesihatan bukan sahaja meningkatkan literasi kesihatan masyarakat, malah menggalakkan interaksi dua hala antara komuniti dengan institusi pengajian tinggi.

Para pelajar turut didedahkan kepada cabaran sebenar komuniti setempat, termasuklah keterbatasan pengetahuan kesihatan reproduktif, kekangan akses kepada perkhidmatan kesihatan serta faktor sosioekonomi yang mempengaruhi tahap kesedaran pencegahan penyakit.

Peranan pelajar dalam menyampaikan maklumat kesihatan secara mudah, jelas dan berperingkat dilihat mampu merapatkan jurang pengetahuan antara golongan profesional kesihatan dengan masyarakat umum.

Sesi kesedaran tersebut turut menekankan kepentingan pencegahan melalui vaksinasi HPV serta saringan awal seperti ujian pap smear dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) HPV sebagai langkah berkesan mengurangkan risiko kanser serviks.

Walaupun vaksinasi HPV telah diperkenalkan dalam program imunisasi kebangsaan di beberapa wilayah Indonesia, tahap kesedaran dalam kalangan remaja dan dewasa masih perlu dipertingkat melalui pendidikan kesihatan berterusan pada peringkat komuniti.

Secara keseluruhannya, pelibatan pelajar USM dalam aktiviti kesedaran HPV ini mencerminkan objektif program SHINE dalam melahirkan pelajar holistik yang bukan sahaja berpengetahuan, malah peka terhadap isu kesihatan dan keperluan masyarakat sejagat, selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan yang ketiga, iaitu untuk memastikan kehidupan yang sihat dan kesejahteraan untuk semua.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi