Diterbitkan pada 20 April 2026, 10:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa tubuh badan yang sihat dan akal yang cerdas merupakan anugerah serta amanah Tuhan yang amat berharga dan wajib dipelihara dengan penuh tanggungjawab.

Baginda bertitah, kesihatan bukan sekadar bebas daripada penyakit, sebaliknya merangkumi kesejahteraan menyeluruh meliputi aspek fizikal, mental dan sosial.

Baginda turut menegaskan bahawa rakyat yang sihat ialah aset terpenting negara serta menjadi pemacu kepada kemakmuran dan kestabilan negeri Perlis yang tercinta.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Aktiviti Fizikal Sedunia Peringkat Kebangsaan dan Karnival Jelajah Kecergasan Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 yang berlangsung di Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Kangar pada ahad.

Bertemakan “Setiap Langkah Bermakna”, Baginda bertitah bahawa setiap usaha kecil ke arah gaya hidup sihat mampu memberikan kesan besar dalam jangka masa panjang.  Jelas Baginda, untuk hidup aktif tidak memerlukan kos yang tinggi atau peralatan canggih, sebaliknya menuntut kesedaran, kesungguhan dan konsistensi.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menyeru agar seluruh rakyat negeri Perlis tanpa mengira usia agar terus membudayakan gaya hidup aktif dalam kehidupan seharian serta menjadikan aktiviti fizikal sebagai rutin, bukan sekadar pilihan.

Dalam masa yang sama, Baginda turut mengingatkan agar kebersihan dan kelestarian alam sekitar sentiasa dipelihara supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Titah Baginda,

Setiap langkah yang kita ambil hari ini adalah pelaburan untuk kesihatan masa hadapan.

Keberangkatan tiba DYTM Tuanku Raja Muda disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (Kesihatan Awam), YBrs. Dr. Ismuni Bohari.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ghazali Chik serta barisan pengurusan tertinggi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Program yang berlangsung pada 18 hingga 19 April 2026 ini telah dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dengan pelbagai aktiviti kecergasan dan kesihatan melibatkan komuniti, termasuk Langkah Sihat dan Fun Walk, Aerofithon 90 Minit, pertandingan Xplore Race dan X-Break HePiLI, reruai interaktif serta saringan kesihatan percuma termasuk perkhidmatan pakar dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF), dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan keluarga.

Turut diadakan ialah pertandingan bola kayu (woodball) bagi mempromosikan World Cup Woodball Championship (WCWC) 2026. Negeri Perlis telah terpilih untuk menjadi tuan rumah dan dua pertiga atlet yang akan mewakili pasukan kebangsaan adalah dari negeri ini.

Negeri Perlis akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran World Cup Woodball Championship 2026.

Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan aktiviti fizikal, sejajar dengan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang menunjukkan peningkatan peratusan rakyat Malaysia yang tidak aktif secara fizikal kepada 29.9 peratus.

Dalam majlis yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian, menyertai aktiviti jalan laju (brisk walk) sejauh tiga kilometer, serta menyempurnakan penyampaian hadiah pertandingan Lawn Bowls bagi kategori tempat pertama, kedua dan ketiga.

DYTM Raja Muda Perlis berkenan menyempurnakan simbolik perasmian dengan menyertai aktiviti jalan laju.

Baginda juga berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs Peduli berupa wang tunai sebanyak RM700, kit MAIPs Peduli serta beras fidyah kepada tiga asnaf terpilih, iaitu Azali Othman, 78, dari Bintong, Siti Mohd Din, 62, dari Jalan Raja Syed Saffi, dan Rodzi Yob, 58, dari Behor Temak.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi