Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menara Merdeka 118 terus memperkukuh kedudukannya sebagai pembangunan ikonik negara apabila menerima Sijil Perakuan Bomba atau Fire Certificate (FC) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sekali gus mengesahkan pematuhan terhadap piawaian keselamatan kebakaran dan keselamatan nyawa yang ketat.
Pensijilan tersebut mencerminkan pelaksanaan rangka kerja keselamatan yang menyeluruh, merangkumi aspek sistem perlindungan kebakaran, infrastruktur bangunan serta kesiapsiagaan operasi.
Langkah ini selaras dengan keperluan ketat bagi bangunan pencakar langit berprofil tinggi dan kompleks seperti Merdeka 118 yang memerlukan tahap pengurusan risiko dan keselamatan yang lebih dinamik serta bersepadu.
Ketua Pegawai Eksekutif, PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd., YBhg. Datuk Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu pencapaian penting yang mengesahkan menara Merdeka 118 memenuhi semua piawaian keselamatan kebakaran dan keselamatan nyawa yang ditetapkan.

Menurut beliau,
Sebagai pembangunan mercu tanda negara, aspek keselamatan tidak hanya dilihat dari sudut pematuhan peraturan, sebaliknya diterapkan secara menyeluruh dalam setiap fasa pembangunan termasuklah reka bentuk, pembinaan dan operasi bangunan.
Dalam pada itu, Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Tuan Hassan ‘As’ari Omar menegaskan bahawa pensijilan FC merupakan pengiktirafan rasmi di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 yang membuktikan sesebuah bangunan telah memenuhi piawaian keselamatan kebakaran yang ditetapkan.
Beliau menjelaskan bahawa perakuan tersebut bukan sekadar keperluan pentadbiran, malah menjadi jaminan keselamatan kepada penghuni dan pengunjung bahawa semua sistem perlindungan kebakaran berada dalam keadaan berfungsi dan bersedia digunakan pada bila-bila masa.
Pensijilan ini juga memperlihatkan komitmen berterusan menara Merdeka 118 dalam memastikan keselamatan berada pada tahap tertinggi, setanding dengan standard antarabangsa, sekali gus meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap keselamatan dan kebolehpercayaan pembangunan mercu tanda negara ini.