Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini mempergiat langkah proaktif bagi memperkukuh rantaian bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan negara susulan impak krisis tenaga global yang menjejaskan pasaran antarabangsa.
Menurut kenyataan KKM semalam, krisis berkenaan telah mengakibatkan ketidakstabilan akses dan gangguan penghantaran, terutamanya bagi peranti perubatan kritikal dan produk import dalam kategori berisiko tinggi.
Situasi ini turut memberikan tekanan terhadap keupayaan pembekal untuk memenuhi obligasi kontrak,yang berisiko menjejaskan kelangsungan penyampaian perkhidmatan kesihatan sekiranya tidak ditangani dengan segera.
Bagi mendepani cabaran tersebut, KKM telah melaksanakan pengukuhan stok penimbal bagi item kritikal serta mempelbagaikan sumber bekalan untuk mengurangkan kebergantungan tunggal.
Selain itu, pemantauan rapi terhadap bekalan bahan mentah dijalankan secara berterusan bersama-sama pihak industri yang lain bagi membolehkan sebarang risiko gangguan dikesan lebih awal dan ditangani secara bersasar.
Berdasarkan aspek pengurusan operasi, agihan bekalan kini dilaksanakan secara berhemah berdasarkan keperluan klinikal dan penggunaan yang rasional slain turut menyediakan pelan rawatan alternatif serta mempermudah proses kawal selia melalui laluan akses khas dan pengaktifan pelan gerak balas kecemasan.
Inisiatif lain seperti penetapan item kawalan dan peluasan penggunaan pelabelan elektronik (e-labelling) untuk peranti perubatan juga dilaksanakan bagi memastikan akses pesakit tidak terganggu.
Bagi strategi jangka masa sederhana dan jangka masa panjang, pihak kementerian memberikan tumpuan kepada transformasi industri melalui peralihan penggunaan bahan daripada resin kepada polimer serta pelaksanaan sistem pengenal pasti peranti perubatan Unique Device Identification (UDI).
Usaha ini diperkukuh lagi dengan pembangunan industri peranti perubatan tempatan bagi mengurangkan impak turun naik pasaran global.
Bagi sektor ubat-ubatan pula, KKM memperkenalkan inisiatif pelan takaful dan insurans MyMedSecure sebagai dasar utama keterjaminan bekalan.
Langkah ini merangkumi pengukuhan pengeluaran domestik, pendigitalan rantaian bekalan secara menyeluruh serta pewujudan stok penimbal strategik nasional bagi memastikan sistem kesihatan negara kekal berdaya tahan dalam menghadapi sebarang krisis pada masa hadapan.