Diterbitkan pada 8 April 2026, 10:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perak – Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Adly Zahari telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Ikhtiar Autisme Angkatan Tentera Malaysia (IA-ATM) di Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PPDK) Lautan Kasih Pangkalan TLDM Lumut.

Menurut Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dalam satu kenyataan, program IA-ATM merupakan inisiatif baharu kementerian dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan National Autism Society of Malaysia (NASOM).

Ujarnya, program ini dibiayai oleh Lembaga Tabung Haji sebagai sebahagian daripada komitmen sukarela syarikat terhadap tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat.

Katanya,

Program IA-ATM memfokuskan kanak-kanak autisme dalam kalangan anak-anak Warga Kerja Pertahanan (WKP) berusia tiga tahun hingga 15 tahun, khususnya yang berada di kem ATM.

MINDEF berkata, objektif program ini adalah untuk mendengar dan mendapatkan input berkenaan dengan keperluan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak autisme daripada ibu bapa dan guru serta mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab sosial terhadap anak-anak istimewa ini.

Program tersebut juga dapat membina jaringan kerjasama antara MINDEF dengan syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan bagi menyediakan kemudahan, bimbingan serta bantuan yang diperlukan.

Ujarnya lagi,

Sebagai pengenalan, IA-ATM dilaksanakan di PPDK Lautan Kasih Pangkalan TLDM Lumut, Perak bermula 14 Julai 2025 hingga 7 Mei 2026 dan PPDK Umi Kem Terendak, Melaka bermula 4 Ogos 2025 hingga 4 Jun 2026.

Menurut MINDEF, sebanyak 10 orang kanak-kanak autisme di setiap PPDK akan menjalani sesi pelajaran-terapi merangkumi 12 modul baharu yang direka khusus oleh pihak NASOM bagi program ini.

Tambahnya, inisiatif ini bukan sahaja menyokong kanak-kanak berkeperluan khas (KBK), tetapi turut memberikan penekanan kepada keupayaan KBK mengembangkan bakat dan potensi diri agar berupaya mencapai potensi penuh bagi diintegrasikan dalam masyarakat.

Program berkenaan turut membuka ruang kepada tenaga pengajar meneroka kaedah dan modul pengajaran baharu yang bersesuaian mengikut kecenderungan dan potensi murid.

Jelasnya,

Usaha ini juga menyokong inisiatif untuk memperkukuh kerjasama antara ATM dengan agensi awam dan pihak swasta melalui pendekatan Civil Military Corporation.

Turut hadir ialah Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Baharudin Wan Md Nor; Ketua Syariah Kumpulan Tabung Haji, Ustaz Imran Mohammad Khayat; Penaung NASOM, YBhg. Dato’ Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin; Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Manjung, JKM Negeri Perak, Puan Nor Amelia Ali dan seluruh warga PPDK Lautan Kasih Pangkalan TLDM Lumut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi