Diterbitkan pada 7 April 2026, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Isu pengambilan garam berlebihan dalam kalangan rakyat Malaysia terus menjadi kebimbangan utama berikutan kesannya terhadap kesihatan, termasuk peningkatan risiko penyakit tidak berjangkit. Sehubungan dengan itu, kumpulan penyelidikan bertajuk Memperkukuh Dasar Pengurangan Garam di Malaysia melalui Penetapan Had Maksimum Garam sedang giat dilaksanakan melalui kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Terengganu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia.

Projek yang diketuai oleh YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar ini memberikan tumpuan kepada pembangunan had maksimum kandungan garam bagi 15 kategori makanan terpilih di Malaysia yang bertujuan untuk mengurangkan pengambilan garam dalam kalangan rakyat melalui penggubalan had kandungan garam yang lebih terkawal dalam Peraturan-peraturan Makanan, 1985.

YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar selaku ketua projek memberikan penerangan mengenai projek penetapan had maksimum garam di Malaysia.

Dalam usaha memperluas impak projek, satu bengkel kolaboratif yang dipengerusikan oleh YBrs. Ts. Dr. Hasnah Haron telah dianjurkan bersama dengan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) pada 6 April lalu melibatkan 18 orang peserta daripada lapan pengeluar keropok lekor di negeri ini bagi menghasilkan keropok lekor yang lebih sihat dalam kerangka 100 hari.

YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Hasnah Haron selaku pengerusi bengkel menerangkan penghasilan keropok lekor sihat dalam rangka 100 hari.

Menurut YBrs. Ts. Dr. Hasnah Haron, bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengurangan garam, selain mencadangkan alternatif penggunaan garam serta kaedah pengubahsuaian dalam proses penghasilan makanan dalam kalangan pengeluar keropok lekor.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan perasmian oleh Timbalan Pengerusi YPU, YBrs. Encik Mohd Yusop Majid, disusuli dengan pembentangan sesi pertama oleh YBrs. Dr. Muhammad Syazni Azmi dari KKM yang berkongsikan mengenai inisiatif pengurangan garam di Malaysia, diikuti oleh pembentangan YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar dari UKM yang berkongsikan reformulasi produk dan sasaran maksimum garam mandatori sebagai usaha kolaboratif pelbagai pihak.

Perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi YPU, YBrs. Encik Mohd Yusop Majid.

Sesi seterusnya disampaikan oleh YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Hasnah Haron dari UKM yang memberikan penekanan terhadap teknik pengurangan garam dalam penghasilan keropok lekor lebih sihat dalam kerangka 100 hari, manakala sesi keempat menampilkan perkongsian daripada pengusaha keropok lekor, termasuk syarikat ROMA, Dynarlekor dan Ssaje yang berjaya menghasilkan produk dengan kandungan natrium di bawah target 700 mg bagi setiap 100 gram keropok lekor.

Bengkel ini diakhiri dengan sesi perbincangan berkumpulan antara pengusaha keropok lekor dengan penyelidik bagi mengenal pasti tahap pemahaman pengeluar terhadap pematuhan sasaran maksimum garam, selain membincangkan cabaran serta sokongan yang diperlukan dalam usaha perumusan semula produk.

Sesi perbincangan kumpulan berfokus turut dilaksanakan sebagai pelengkap pengisian bengkel ini.

Inisiatif ini diharap dapat membantu mengurangkan kandungan garam dalam produk keropok lekor, sekali gus menyokong sasaran nasional ke arah mengawal pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia serta menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi