Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi mendepani cabaran cuaca panas yang sedang melanda negara.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Yang Berhormat Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup dalam satu kenyataan, pelaksanaan OPA yang dijadualkan bermula hari ini hingga 9 April 2026 akan memberikan tumpuan khusus kepada empangan utama yang terletak di Perak, Kedah, Perlis dan Johor bagi memastikan kelangsungan bekalan air domestik dan pertanian.
Ujarnya,
Objektif utama siri operasi ini adalah untuk meningkatkan paras air di empangan strategik tersebut serta membantu memberikan kelembapan kepada ekosistem bagi mengurangkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut.
NRES juga menegaskan bahawa kejayaan operasi ini amat bergantung pada keadaan atmosfera yang kondusif, terutamanya kehadiran awan kumulus yang sesuai dan kelajuan angin yang rendah.
Tambah beliau, pasukan teknikal MET Malaysia akan sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa bagi menentukan lokasi sasaran yang tepat dan dapat memberikan impak maksimum kepada kawasan yang terkesan.
Katanya,
Orang awam dinasihatkan agar terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan aktiviti luar pada waktu tengah hari, memastikan pengambilan air yang mencukupi serta menggunakan perlindungan diri seperti topi atau payung ketika berada di bawah panas terik.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat untuk menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi menjaga kualiti udara serta kelestarian alam sekitar.
NRES akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan untuk memantau impak cuaca panas ini, manakala maklumat terkini boleh dirujuk melalui aplikasi myCuaca atau laman web rasmi MET Malaysia.