Diterbitkan pada 25 Mac 2026, 16:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Cuaca panas yang melanda negara ketika ini boleh memudaratkan kesihatan manusia dengan spektrum penyakit berkaitan dengan cuaca panas daripada tahap ringan hingga tahap teruk dan boleh membawa maut.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), antara gejala penyakit akibat cuaca panas melampau termasuklah sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah otot atau kekejangan serta rasa mual.

Jelasnya, keadaan yang lebih serius boleh menyebabkan dehidrasi, kekeliruan, tidak sedarkan diri dan koma.

“Semua individu yang terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh lama berisiko mengalami penyakit berkaitan dengan cuaca panas, namun kanak-kanak, warga emas, individu berpenyakit kronik, pekerja yang terdedah kepada cuaca panas serta individu yang melakukan aktiviti fizikal ketika cuaca panas merupakan golongan berisiko tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KKM berkata, berdasarkan pemantauan berterusan dari 1 Januari 2026 hingga 24 Mac 2026, sebanyak 15 kes penyakit berkaitan dengan cuaca panas di seluruh negara direkodkan melibatkan 11 kes kelesuan haba, satu kes kejang haba dan tiga kes strok haba.

Tambahnya, semua kes telah pulih kecuali satu kes melibatkan kanak-kanak yang terperangkap di dalam kenderaan tanpa disedari oleh ibu bapa telah meninggal dunia akibat strok haba.

Sehubungan dengan itu, KKM mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan, antaranya merancang aktiviti luar rumah seperti ziarah raya dengan mengelakkan waktu puncak panas antara pukul 11 pagi hingga 4 petang.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk memastikan pengambilan air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan hidrasi badan, serta mengurangkan pengambilan minuman manis, berkafein dan berkarbonat kerana minuman tersebut tidak baik untuk hidrasi badan”, jelasnya.

Menurut KKM lagi, golongan berisiko seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas juga perlu dipastikan meminum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi tanpa disedari.

Tambahnya, orang ramai digalakkan mandi dengan kerap, memakai pakaian ringan dan berwarna cerah, mengehadkan aktiviti lasak serta menggunakan pelindung diri seperti payung dan topi ketika berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas.

KKM turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berada di dalam kenderaan tertutup tanpa penyaman udara serta memastikan kanak-kanak tidak ditinggalkan bersendirian di dalam kenderaan yang terdedah kepada panas.

Katanya, kementerian juga menggesa agensi kerajaan, institusi pendidikan serta pusat jagaan warga emas dan kanak-kanak agar mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian penyakit berkaitan cuaca panas.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas melalui laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi pautan www.met.gov.my serta panduan kesihatan berkaitan dengan cuaca panas menerusi portal rasmi KKM, infosihat.moh.gov.my.

Terdahulu, MetMalaysia dalam kemas kini status cuaca panas setakat 6 pagi tadi memaklumkan bahawa tiga daerah di Kedah kini merekodkan gelombang haba Tahap 2, manakala 16 lagi kawasan di seluruh Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1, iaitu berjaga-jaga.

Daerah yang terlibat bagi Tahap 2 di Kedah ialah Pokok Sena, Pendang dan Baling. Sementara itu, 16 kawasan yang diletakkan di bawah Tahap 1 ialah Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; seluruh Perlis serta kawasan Timur Laut dan Utara di Pulau Pinang.

Turut merekodkan status sama ialah Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar di Perak, selain daerah Jerantut serta Raub di Pahang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi