Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memantau secara rapi perkembangan semasa krisis geopolitik di Asia Barat, khususnya susulan penutupan laluan Teluk Hormuz oleh Iran pada 2 Mac 2026 yang telah memberikan kesan kepada pasaran tenaga global.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Yang Amat Berhormat Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof dalam satu kenyataan berkata, perkembangan ini tidak menjejaskan tahap ketersediaan dan jaminan bekalan elektrik negara pada masa ini.
Katanya,
Sistem penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia menggunakan sekitar 40 peratus hingga 45 peratus gas asli sebagai bahan api utama dan sebahagian besar bekalan gas tersebut diperoleh daripada sumber gas domestik di Kerteh serta kawasan pembangunan bersama-sama Thailand–Malaysia Joint Development Area.
Bekalan gas dalam negara pada masa ini stabil dan mencukupi untuk menampung operasi loji jana kuasa.
Beliau berkata, berhubung tarif elektrik, melalui kerangka Incentive Based Regulation di bawah tempoh Kawal Selia Keempat atau Regulatory Period 4Â dari tahun 2025 hingga tahun 2027, kerajaan komited melindungi kebajikan pengguna daripada impak kenaikan kos bahan api global.
Sebarang perubahan kos bahan api seperti gas dan arang batu akan diselaraskan melalui mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) pada setiap bulan berdasarkan pergerakan kos bahan api sebenar dalam pasaran.
Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada pelarasan atau kos bahan api.
Ujarnya,
Sekitar 85 peratus pengguna domestik di seluruh negara tidak akan terkesan dengan turun naik harga bahan api dalam pasaran antarabangsa, sekali gus memberikan kestabilan kepada perbelanjaan isi rumah.
Berdasarkan perkembangan semasa, kadar AFA diunjurkan kekal dalam keadaan rebat hingga April 2026 dan sekiranya kos bahan api global terus meningkat dan ketegangan di Asia Barat berlarutan, kadar AFA berpotensi untuk berubah pada bulan berikutnya.
Sejak Julai 2025, tampungan subsidi yang telah diberikan oleh kerajaan berjumlah RM2506 juta yang disalurkan kepada pengguna melalui rebat bil elektrik sebagai insentif cekap tenaga.
Tegasnya,
Untuk memastikan perlindungan yang berterusan, kerajaan juga sedang meneliti langkah mitigasi tambahan sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan sehingga memberikan tekanan melampau kepada kos bahan api.
PETRA akan terus bertindak proaktif dalam mengimbangi keterjaminan tenaga dalam negara dengan keupayaan ekonomi pengguna agar tarif elektrik kekal pada kadar yang munasabah.
Sebagai langkah kebersamaan dalam mendepani situasi semasa, pengguna digalakkan untuk terus mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dan berhemah.
Tambahnya, amalan penjimatan elektrik bukan sahaja membantu mengurangkan komitmen bil bulanan individu, malah merupakan sumbangan besar rakyat dalam memperkukuh kelestarian sistem tenaga negara.