Diterbitkan pada 10 Mac 2026, 15:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sebanyak 103 kontena e-sisa telah dikesan hasil daripada pemeriksaan ke atas 213 kontena dalam Ops Bongkar dari 3 hingga 9 Mac lalu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Yang Berhormat Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mendapati bahawa sebanyak 148 kontena mengandungi buangan terjadual.

Menurut beliau, selain e-sisa, 24 kontena mengandungi buangan bateri asid plumbum, tiga kontena mengandungi bateri litium, 18 kontena mengandungi campuran buangan terjadual dan bukan buangan terjadual, manakala 65 kontena lagi mengandungi sisa plastik serta skrap logam yang diklasifikasikan sebagai bukan buangan terjadual.

Beliau menjelaskan, Ops Bongkar dilaksanakan sebagai langkah proaktif bagi menyelesaikan pemeriksaan baki 213 kontena yang ditahan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Klang.

Operasi bersepadu itu turut melibatkan kerjasama daripada beberapa agensi strategik, iaitu Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, JKDM, Lembaga Pelabuhan Klang serta SIRIM Berhad.

Katanya,

Rekod siasatan lanjut mendapati bahawa 90 peratus kontena yang mengandungi buangan terjadual dan e-sisa berasal dari Amerika Syarikat, manakala selebihnya datang dari beberapa negara lain termasuklah Brazil, Singapura, Sepanyol, Turkiye, China, Thailand, Kanada, Saint Lucia, Barbados, Chile, United Kingdom, Jepun, Emiriah Arab Bersatu, Uruguay dan Ecuador.

Menurutnya, peningkatan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu oleh pelbagai agensi di pelabuhan termasuklah usaha mempergiat pengesanan, pemeriksaan dan penahanan kontena yang disyaki mengandungi e-sisa turut menyumbang kepada pertambahan kontena yang ditahan, sekali gus menyebabkan lambakan di kawasan pelabuhan.

Sehubungan dengan itu, kementerian sedang meneliti cadangan penubuhan cawangan JAS di Pelabuhan Klang melalui penambahan perjawatan bagi memperkukuh kawalan serta mempercepat tindakan penguatkuasaan terhadap kes melibatkan buangan terjadual atau e-sisa di pelabuhan.

Tambah beliau, penugasan pegawai JAS secara tetap di pelabuhan dijangkakan dapat mempercepat proses pemeriksaan dan penahanan kontena yang mencurigakan, selain memastikan pengurusan kes dilaksanakan dengan lebih cekap dan teratur.

Ujarnya, langkah tersebut juga diyakini mampu membantu mengurangkan isu lambakan kontena dan memastikan operasi pelabuhan terus berjalan lancar.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia tidak membenarkan sebarang pengimportan buangan terjadual, khususnya e-sisa, selaras dengan komitmen negara di bawah Konvensyen Basel yang mewajibkan kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar bagi setiap aktiviti rentas sempadan.

Beliau berkata,

Memandangkan JAS tidak pernah mengeluarkan sebarang kebenaran import bagi bahan berkenaan, sebarang e-sisa yang dikesan di pelabuhan negara dianggap sebagai kemasukan haram dan aktiviti penyeludupan yang menyalahi undang-undang.

Dalam hal ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi bagi mengekang jenayah alam sekitar tersebut.

Tegasnya,

Malaysia tidak akan sesekali menjadi tempat pembuangan sampah dunia dan tindakan undang-undang tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak termasuklah ejen atau syarikat perkapalan yang cuba berkompromi dengan keselamatan alam sekitar serta kesihatan awam negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi