Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengesan 38 kontena mengandungi buangan terjadual, termasuklah 21 kontena e-sisa dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di Pelabuhan Klang bagi membanteras cubaan membawa masuk buangan berbahaya secara tidak sah ke Malaysia.
Menurut JAS dalam satu kenyataan, penemuan tersebut direkodkan hasil pemeriksaan pada hari ketiga pelaksanaan Ops Bongkar yang menyaksikan 52 kontena diperiksa, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 151 kontena telah diperiksa sepanjang tiga hari operasi berkenaan dijalankan.
Katanya,
Operasi bersepadu itu melibatkan pegawai dari Ibu Pejabat JAS, JAS Negeri Selangor, JAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta JAS Negeri Sembilan dengan kerjasama beberapa agensi strategik, iaitu Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Pelabuhan Klang dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia.
Sebagai agensi penguatkuasaan utama di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, JAS mengetuai dan menyelaras keseluruhan operasi termasuklah pemeriksaan fizikal kontena, semakan dokumentasi pengimportan serta penilaian teknikal bagi mengenal pasti kandungan buangan terjadual.
Jelasnya, tindakan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan destinasi pelupusan buangan haram, khususnya sisa elektronik yang boleh memberikan kesan serius kepada alam sekitar dan kesihatan awam.
JAS berkata, susulan penemuan tersebut, pihaknya akan memulakan proses pemulangan semua kontena yang mengandungi e-sisa ke negara asal, selaras dengan prosedur di bawah Konvensyen Basel.
Notifikasi pemulangan akan dikemukakan kepada negara asal, manakala Notis Arahan turut akan dikeluarkan kepada pihak yang membawa masuk kontena berkenaan.
Ujarnya, sekiranya pihak terlibat gagal menguruskan pemulangan kontena tersebut, tindakan tegas boleh diambil di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum hingga RM10 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Proses pemulangan kontena dijangkakan mengambil masa hingga enam bulan atau lebih, bergantung pada persetujuan pihak yang terlibat termasuklah kerajaan negara asal kontena tersebut.
Katanya lagi, kerajaan menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tapak pelupusan buangan dunia dan sebarang cubaan melanggar undang-undang berkaitan dengan pengimportan buangan terjadual akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.