Diterbitkan pada 4 Mac 2026, 14:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Hari Obesiti Sedunia 2026 yang bertemakan “8 Bilion Sebab untuk Bertindak Menangani Obesiti”, Malaysian Association for the Study of Obesity (MASO) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganjurkan tiga webinar antarabangsa serta pelbagai aktiviti komuniti sebagai sebahagian daripada Minggu Obesiti Malaysia bagi memperkukuh kesedaran dan tindakan kolektif dalam menangani obesiti.

Webinar pertama yang membincangkan polisi obesiti, strategi berasaskan sistem, kerjasama antara sektor serta integrasi pendekatan kesihatan awam dan pemakanan klinikal pada 2 Mac 2026 menampilkan YBhg. Profesor Dr. Volkan Demirhan Yumuk dari European Association for the Study of Obesity, YBrs. Dr. Mansi Patil dari IAPEN India serta YBhg. Profesor Dr. Melvin Ambele dari University of Pretoria dan dikendalikan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Azian Abdul Murad dari Universiti Kebangsaan Malaysia selaku moderator.

Pada 3 Mac 2026, webinar kedua yang dianjurkan menyasarkan masyarakat umum dengan memfokuskan obesiti kanak-kanak melalui pendekatan praktikal berteraskan keluarga, termasuklah aspek pemakanan, aktiviti fizikal, genetik, tidur dan pengurusan tekanan.

Antara penceramah yang mengupas isu berkenaan ialah YBrs. Profesor Madya Dr. Azriyanti Anuar Zaini dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, YBrs. Dr. Vanitha A/P Subramaniam dari KKM serta Puan Roslinda @ Zakiah Kangan dari Bahagian Pemakanan KKM. Sesi ini dikendalikan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Hazizi Abu Saad dari Universiti Putra Malaysia.

Webinar ketiga pada 4 Mac 2026 pula mengetengahkan pendekatan berasaskan bukti dalam pencegahan dan pengurusan obesiti kanak-kanak dengan sesi pembentangan oleh YBhg. Profesor Dr. Muhammad Yazid Jalaludin dari Universiti Malaya, YBrs. Profesor Madya Dr. Sharifah Wajihah Wafa dari Universiti Sultan Zainal Abidin dan YBrs. Profesor Madya Dr. Siti Sabariah Buhari dari Universiti Teknologi MARA.

Sesi yang dikendalikan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Azdie Mohd Abu Bakar dari International Islamic University Malaysia itu menekankan model pencegahan awal, pendekatan pelbagai disiplin serta pengaruh persekitaran digital terhadap corak pemakanan kanak-kanak di Malaysia.

Sebagai sebahagian kempen, MASO turut melancarkan Walk Challenge yang menggalakkan para peserta mencapai 10 000 langkah sehari selama tujuh hari berturut-turut antara 4 Mac 2026 hingga 4 April 2026 bagi memupuk amalan gaya hidup sihat secara konsisten dalam kalangan individu, keluarga dan komuniti.

Selain itu, TikTok Video Challenge diperkenalkan dengan mengajak orang ramai menghasilkan video kreatif berdurasi 60 saat bertemakan pencegahan obesiti, pengurusan berat badan sihat atau kesedaran status berat badan melalui akaun awam TikTok dengan menanda @MASO.obesity, sekali gus menjadikan mesej kesihatan lebih bersifat interaktif dan dekat dengan generasi muda.

MASO menegaskan bahawa obesiti merupakan cabaran kesihatan awam yang memerlukan tindakan bersepadu di rumah, sekolah dan komuniti melalui pemakanan seimbang, aktiviti fizikal yang konsisten, tidur yang mencukupi serta pengurusan tekanan yang baik agar masyarakat di negara ini dapat bergerak ke arah gaya hidup yang lebih sihat.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti media sosial rasmi MASO di Facebook, Instagram dan TikTok.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi