Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLarkin – Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) memperkasakan literasi sains dan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap keselamatan sinaran melalui penyertaan dalam Program Jelajah Ramadan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Edisi ke-14 Tahun 2026 yang menjadi platform komunikasi sains inklusif dan berimpak tinggi di seluruh negara.
Program berskala nasional yang merentasi 14 buah negeri ini bermula di Johor pada 16 Februari 2026 dan berakhir di Sibu, Sarawak pada 8 Mac 2026. Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Yang Berhormat (YB) Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil di Larkin, Johor Bahru sebagai simbolik pelepasan rasmi Konvoi Jelajah Ramadan RTM Edisi ke-14 Tahun 2026.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuklah siaran langsung radio dan televisyen, pengisian kerohanian, khidmat komuniti serta pameran pendidikan yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan yang bertujuan untuk menyampaikan mesej ilmu, kebajikan dan penyiaran awam kepada masyarakat.

Penyertaan Atom Malaysia memberikan tumpuan kepada penerangan bahawa sinaran merupakan fenomena semula jadi yang dimanfaatkan dalam sektor industri untuk mengesan kecacatan bahan tanpa merosakkan struktur, dalam sektor makanan untuk memanjangkan jangka hayat dan mengekalkan kualiti serta dalam bidang perubatan melalui prosedur diagnostik seperti sinar-X dan rawatan radioterapi bagi pesakit kanser.

Usaha ini adalah penting kerana penggunaan istilah seperti “sinaran”, “radioaktif” dan “nuklear” sering menimbulkan kebimbangan akibat kekurangan pendedahan. Maka, pendekatan bersemuka digunakan untuk menjelaskan bahawa teknologi ini selamat dan bermanfaat apabila dikawal selia dengan baik.
Melalui reruai pameran di setiap lokasi, pegawai Atom Malaysia berinteraksi secara dua hala dengan pengunjung pelbagai peringkat umur bagi meningkatkan kefahaman dan keyakinan terhadap peranan agensi pengawal selia tersebut.
Untuk memastikan penyampaian lebih mudah difahami, istilah teknikal disampaikan dalam bahasa yang lebih mesra seperti penggunaan perkataan “sinaran” bagi membentuk persepsi positif terhadap bidang nuklear.
Demonstrasi penggunaan alat pengesan sinaran turut diadakan yang bertujuan untuk menunjukkan cara bacaan diukur dalam unit mikrosievert (µSv), sekali gus memberikan pemahaman bahawa sinaran boleh diukur, dipantau dan dikawal.
Maskot Atom Malaysia dan aktiviti interaktif seperti kuiz santai, sesi penerangan keselamatan sinaran serta perkongsian mengenai peranan pengawalseliaan di bawah Akta Tenaga Atom 1984 (Akta 304), menjadikan reruai tersebut ruang pembelajaran sains nuklear yang santai dan mesra keluarga.

Aspek kesiapsiagaan turut diketengahkan melalui pendedahan kepada talian Kecemasan Sinaran 1800-88-7999 sebagai saluran rasmi untuk mendapatkan maklumat atau melaporkan sebarang kejadian berkaitan dengan sinaran.
Kerjasama antara Atom Malaysia dengan RTM memperlihatkan model komunikasi sains berkesan apabila platform penyiaran awam bergabung dengan institusi yang memiliki kandungan ilmiah sahih dan berautoriti untuk menyampaikan mesej keselamatan sinaran secara lebih meluas.
Penyertaan ini berjaya meningkatkan kefahaman awam terhadap konsep sinaran, mengurangkan salah tanggapan terhadap nuklear, memupuk minat terhadap sains dan teknologi serta mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan negara dalam mengawal selia keselamatan sinaran secara selamat, aman dan bertanggungjawab.