Diterbitkan pada 1 Mac 2026, 17:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) terus memperkukuh pengurusan habitat rumput laut secara sistematik dan berasaskan sains bertepatan dengan sambutan Hari Rumput Laut Dunia pada 1 Mac.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh DOF, usaha tersebut memberikan tumpuan kepada pemetaan dan penilaian habitat sebagai asas pengurusan ekosistem pesisir yang menyokong kelestarian sumber perikanan serta kesejahteraan komuniti pesisir.

Menurut DOF,

Usaha ini dilaksanakan melalui program Pemetaan Rumput Laut dan aktiviti kemasyarakatan menerusi kerjasama strategik bersama-sama Yayasan PETRONAS dengan sokongan Pusat Biodiversiti Sabah serta rakan pelaksana, iaitu Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Malaysia Sabah.

Tambahnya, program berkenaan menekankan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem rumput laut, di samping menyokong penyelidikan saintifik serta memperkasakan daya tahan komuniti pesisir.

Jelasnya, program dua tahun ini merangkumi pemetaan taburan rumput laut di kawasan air cetek Malaysia, penilaian kepelbagaian spesies dan litupan habitat, penentuan serta pemetaan status stok karbon biru serta pemerkasaan Pelibatan Komuniti dan Kesedaran Awam (CEPA).

Hingga kini, pemetaan awal merekodkan liputan kawasan seluas 1846.1 hektar meliputi Sabah Barat, Labuan serta Melaka dan Negeri Sembilan serta akan diperluas secara berperingkat mengikut pelan pelaksanaan.

Katanya,

Hasil utama inisiatif ini ialah penghasilan Peta Rumput Laut Kebangsaan yang pertama dibangunkan secara komprehensif pada peringkat nasional sebagai asas data spatial bagi menyokong Pelan Tindakan Rumput Laut Kebangsaan (NPOA Seagrass).

Jelasnya, peta tersebut menjadi rujukan teknikal dalam perancangan pembangunan pesisir termasuklah penilaian kesesuaian tapak, pengurangan konflik guna ruang serta pelaksanaan langkah mitigasi bagi melindungi habitat sensitif.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Adnan Hussain dalam kenyataan yang sama berkata, pendekatan berasaskan sains ini memperkukuh keupayaan DOF dalam merancang langkah perlindungan habitat secara lebih tepat dan berimpak.

Ujarnya,

Rumput laut merupakan komponen penting ekosistem pesisir yang menyokong kelangsungan sumber perikanan dan biodiversiti marin serta penghasilan Peta Rumput Laut Kebangsaan ini menjadi asas penting dalam memperhalusi tindakan pengurusan dan memastikan habitat ini terus berfungsi secara lestari.

Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan pengurusan dan mekanisme perlindungan akan diperhalusi, selaras dengan mandat jabatan di bawah Akta Perikanan 1985.

Dari sudut status rumput laut di Malaysia, kajian dalam laporan Malaysia Marine Ecological Gap Assessment (MEGA) merekodkan sebanyak 17 taksa rumput laut daripada tiga famili bagi tempoh tahun 1993 hingga tahun 2021.

Kepelbagaian tinggi direkodkan di Tanjung Andang Shoal, Johor dan Teluk Sepinong, Sandakan, Sabah (16 taksa), manakala Zostera japonica direkodkan khusus di Merambong Shoal, Sungai Pulai, Johor.

Laporan tersebut turut menunjukkan sebahagian taksa berstatus least concern menurut International Union for Conservation of Nature, namun terdapat spesies dengan trend penurunan seperti Enhalus acoroides, Halodule pinifolia dan Halophila beccarii yang mengukuhkan keperluan pengurusan dan perlindungan berfokus.

DOF menyeru semua pihak termasuklah agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, industri dan komuniti pesisir untuk menyokong pemuliharaan habitat rumput laut melalui amalan pembangunan pesisir yang mampan dan berasaskan sains demi kelestarian biodiversiti marin dan kesinambungan sumber perikanan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi