Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSejarah mencatatkan bahawa kertas pertama telah dihasilkan oleh Cai Lun, yang merupakan seorang Pegawai Istana China. Beliau menghasilkan kertas daripada campuran kulit pokok mulberi, jala ikan, kain lama dan rami, sekitar tahun 105 Masihi. Teknologi penghasilan kertas tersebut dirahsiakan berabad lamanya sehinggalah tersebar ke Asia Tengah (Samarkand) pada tahun 751 Masihi dan ke Baghdad pada tahun 793 Masihi. Teknologi pembuatan kertas berkembang pesat di Baghdad pada abad ke-8, dengan menggunakan papirus sebagai bahan penghasilan kertas, dan ini menjadi asas Zaman Keemasan Islam.
Teknologi ini telah sampai ke Eropah pada abad ke-11, dengan menggantikan perkamen (kulit binatang) dengan papan kayu, dan kilang kertas pertama telah dibina di Sepanyol pada abad ke-13. Perindustrian kertas terus berevolusi dengan penghasilan mesin pembuatan kertas berasaskan kayu seperti mesin Fourdrinier pada abad ke-19. Kini, pada era moden dan abad ke-20, kertas dihasilkan secara komersial dengan menggunakan sumber bahan mentah daripada pokok dan bahan kitar semula, dengan inovasi kertas plastik dan laminasi kertas bagi penghasilan sifat kertas yang khusus. Hal ini menjadikan kertas sebagai medium penting dalam penyebaran ilmu dan revolusi pencetakan.
Setelah penghasilan kertas daripada pokok menjadi semakin pesat, timbul pula isu penyusutan sumber asli hutan bagi pembuatan kertas. Ada pihak yang mendakwa bahawa banyak pokok ditebang bagi menghasilkan kertas dan industri ini dikatakan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar akibat penebangan pokok. Oleh itu, para penyelidik cuba mencari bahan alternatif bagi menghasilkan kertas dengan tujuan untuk mengurangkan kebergantungan pada sumber asli hutan seperti pokok.
Bahan mentah bagi pembuatan kertas dapat dikategorikan kepada dua, iaitu bahan bukan pokok (non-wood material) seperti buluh, kenaf, jut, flaks, sisal dan rami; dan bahan sisa atau buangan industri perladangan (agricultural residue/waste material) seperti jerami padi, jerami gandum, hampas tebu, tandan kosong buah kelapa sawit, pelepah sawit, batang pokok kelapa sawit, serat buah kelapa, serat buah jagung, tandan pokok pisang, batang pokok pisang dan kulit buah durian. Namun demikian, selain dua kategori yang dinyatakan ini, terdapat juga bahan mentah daripada spesies pokok yang cepat membesar (fast-growing wood species), yang turut menjadi alternatif dalam pembuatan kertas seperti Acacia mangium, Eucalyptus globulus, Gmelina arborea, Paulownia dan Casuarina.
Pemilihan sesuatu bahan sebagai sumber bahan mentah dalam pembuatan kertas merangkumi beberapa ciri seperti tersediaan yang melimpah ruah, mudah didapati, mudah diangkut dari kawasan sumber ke kawasan pemprosesan, kos yang rendah, dan beberapa faktor lain yang bergantung pada sifat produk kertas yang ingin dihasilkan. Contohnya, jika sesuatu produk kertas itu memerlukan kekuatan struktur kertas seperti pembuatan beg kertas yang perlu menampung beban barang yang diletakkan di dalamnya, atau pun pembuatan kotak yang perlu menahan impak bagi melindungi keselamatan barang di dalamnya, bahan mentah untuk pembuatan kertas ini perlulah daripada bahan yang mempunyai gentian pulpa yang kuat, sama ada dihasilkan daripada gentian yang panjang, atau teknik pemulpaan secara kimia, bagi menghasilkan kertas atau produk kertas yang kuat. Sebaliknya, jika produk yang hendak dihasilkan tidak memerlukan kekuatan struktur kertas seperti kertas kraftangan, dan kertas percetakan surat khabar, bahan mentah yang dihasilkan bolehlah menggunakan sumber gentian yang lebih pendek, dan teknik pemulpaan secara mekanik yang kosnya lebih murah dan dapat menghasilkan pulpa atau gentian yang lebih banyak.
Pada dasarnya, pemilihan sesuatu bahan mentah itu perlu disesuaikan bergantung pada produk akhir yang ingin dihasilkan, sama ada kertas pembungkusan seperti penghasilan beg kertas, kotak dan kertas pembalut makanan. Kertas juga merupakan medium penting dalam industri percetakan bagi menghasilkan buku, majalah, surat khabar dan penyimpanan dokumen. Selain itu, kertas juga digunakan dalam transaksi dan dokumen penting negara, seperti penghasilan wang kertas, cek, sijil, tiket penerbangan, tiket bas, tiket keretapi dan sebagainya.
Yang berikut merupakan contoh bahan mentah yang boleh diproses untuk dijadikan pulpa bagi menghasilkan produk kertas. Terdapat sumber semula jadi yang terdapat di dalam hutan, dan ada juga sumber daripada sisa perladangan. Masih banyak lagi sumber bahan mentah lain yang berpotensi untuk dijadikan sumber bahan mentah dalam pembuatan kertas, namun masih perlu diterokai bagi menjamin sumber bahan mentah yang mampan.


Secara ringkasnya, dunia pembuatan kertas kini tidak lagi bergantung sepenuhnya pada kayu daripada hutan. Pelbagai sumber alternatif seperti buluh, kenaf dan sisa pertanian menunjukkan bahawa bahan yang sebelum ini dianggap terhad sebenarnya boleh dimanfaatkan secara lebih bijak. Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan terhadap hutan semula jadi, malah membuka peluang kepada penggunaan sumber yang lebih lestari dan mesra alam.
Setiap bahan gentian mempunyai kelebihan tersendiri dan akan menghasilkan jenis kertas yang berbeza mengikut kegunaannya. Ada bahan yang sesuai untuk kertas pembungkusan yang kuat, manakala ada juga yang lebih sesuai untuk produk ringan seperti kertas percetakan atau kraftangan. Oleh itu, pemilihan bahan mentah perlu dilihat dari sudut fungsi dan tujuan penggunaan, bukannya sekadar menggantikan kayu semata-mata.
Pada masa hadapan, penyelidikan dan inovasi berterusan amat penting bagi memastikan sumber alternatif ini dapat digunakan secara meluas dan praktikal dalam industri. Dengan gabungan teknologi, kesedaran alam sekitar dan usaha bersama antara penyelidik dengan pihak industri, penggunaan bahan alternatif berpotensi menjadi langkah penting dalam memastikan penghasilan kertas yang lebih mampan untuk generasi akan datang.