Diterbitkan pada 20 Februari 2026, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Di Malaysia, vap (vape) bukan lagi sesuatu yang asing. Di pasar malam, di kedai runcit, dalam media sosial, malah di tangan remaja sekolah, peranti vap hadir dengan pelbagai bentuk dan warna. Bau manis strawberi, kopi, vanila atau alusmitai (cotton candy) mudah menarik perhatian. Harumannya lembut dan menyenangkan, seolah-olah tidak membawa sebarang ancaman. Tambahan pula, penghasilan wap hembusan yang berwarna putih dan berkepul-kepul, menambahkan rasa nikmat semasa menyedut vap. Pakaian pula tidak berbau busuk dengan bau asap rokok kerana asap putih hembusan daripada peranti vap berbau harum, seperti bau semburan minyak wangi yang sangat selesa dihidu. Bukan itu sahaja, peranti vap yang pelbagai bentuk dan warna amat menarik perhatian. Semua faktor ini menambahkan minat pengguna vap, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah, serta pengguna. Namun demikian, di sebalik wap beraroma ini, satu persoalan penting sering terlepas pandang, iaitu apakah sebenarnya yang disedut masuk ke dalam paru-paru setiap kali seseorang menghisap vap?

Banyak orang percaya bahawa aktiviti menghisap vap lebih selamat daripada menghisap rokok konvensional kerana vap tidak mengandungi tembakau dan tidak menghasilkan asap hitam. Ada juga yang melihat vap sebagai alternatif untuk berhenti merokok. Selain itu, ada juga yang beranggapan bahawa menghisap rokok lebih mahal kerana harga sekotak rokok yang mengandungi 40 batang rokok hampir mencecah RM37.00 (untuk jenama premium) dan RM28.00 sekotak (untuk jenama pertengahan).  Sementara itu, harga isian semula cecair vap hanyalah sekitar RM23.00 hingga RM49.00 untuk 30 ml. Cecair ini boleh diisi ke dalam peranti vap sedikit demi sedikit dan boleh disimpan lama bergantung pada kekerapan hisapan pengguna. Kepercayaan ini bukan muncul tanpa sebab, sebaliknya dibentuk oleh pemasaran, testimoni pengguna dan kekurangan maklumat yang mudah difahami oleh masyarakat umum. Namun demikian, dalam isu kesihatan awam, persepsi tanpa sokongan sains boleh menjadi sangat berbahaya.

Banyak pengguna vap bermula dengan niat yang baik, iaitu mahu mengurangkan kemudaratan, mahu berhenti merokok, atau sekadar ingin mencuba. Namun demikian, niat yang baik perlu disokong oleh maklumat yang tepat dan berasaskan bukti saintifik agar keputusan yang dibuat benar-benar memihak kepada kesihatan.

Cecair Vap: Bukan Sekadar Air Berperisa

Cecair vap atau sering dianggap sebagai air beraroma. Hakikatnya, cecair ini merupakan campuran kimia yang jauh lebih kompleks. Kebiasaannya, cecair vap mengandungi nikotin, pelarut seperti propilena glikol dan gliserin sayuran, serta pelbagai bahan perisa sintetik. Kajian saintifik telah banyak yang menganalisis kandungan cecair vap di pasaran Malaysia. Kajian ini menggunakan peralatan canggih seperti kromatografi gas dan spektrometri jisim. Hasil kajian telah berjaya mengenal pasti ratusan sebatian kimia berbeza yang terkandung dalam cecair vap. Daripada jumlah ini, beberapa bahan telah dikenal pasti sebagai toksik atau berpotensi memberikan kesan buruk kepada kesihatan apabila disedut. Bukan setakat di Malaysia, penyelidikan terhadap bahan toksik yang terkandung dalam cecair vap telah dilakukan di seluruh dunia dan hasil kajian menunjukkan kehadiran bahan toksik yang berbahaya untuk kesihatan manusia.

Propilena glikol dan gliserin sayuran sering dilabel sebagai selamat, tetapi perlu difahami bahawa status selamat ini adalah untuk pengambilan melalui makanan, bukan untuk penyedutan ke dalam paru-paru. Paru-paru bukan organ pencernaan dan tidak direka untuk menapis atau meneutralkan bahan kimia kompleks seperti usus atau hati. Apa-apa yang masuk melalui sedutan akan terus bersentuhan dengan tisu paru-paru yang sangat sensitif dengan bahan kimia asing.

Nikotin: Ketagihan yang Terselindung

Antara bahan yang paling konsisten ditemui dalam cecair vap di Malaysia termasuklah nikotin. Kajian mendapati bahawa hampir semua sampel cecair vap mengandungi nikotin, dan dalam kebanyakan kes, nikotin ini mengandungi kepekatan yang sangat tinggi. Hal ini membuktikan bahawa vap bukan sekadar alat hiburan berperisa, tetapi satu sistem penghantaran nikotin yang berkesan. Nikotin ialah bahan yang menyebabkan ketagihan yang memberikan kesan langsung terhadap sistem saraf, jantung dan saluran darah. Nikotin boleh meningkatkan denyutan jantung, meningkatkan tekanan darah, menyempitkan diameter darah dan merosakkan saluran darah, merosakkan sel otak, meningkatkan risiko strok dan sakit jantung, terutamanya jika diambil secara berterusan dan dalam kuantiti yang berlebihan. Lebih membimbangkan, banyak pengguna tidak menyedari berapa banyak nikotin yang mereka sedut. Pelabelan pada botol cecair vap sering menggunakan simbol, warna atau istilah yang mengelirukan dan tidak dinyatakan secara jelas. Keasyikan rasa manis dan bau harum sering menenggelamkan kesedaran terhadap dos sebenar nikotin yang masuk ke dalam badan. Keadaan ini amat berisiko, terutamanya kepada remaja dan pengguna baharu.

Perisa Manis, Risiko Senyap

Satu daripada tarikan utama vap ialah kepelbagaian perisanya. Kajian mendapati bahawa bahan perisa seperti etil maltol, vanillin dan ethil vanillin sangat kerap digunakan, terutamanya dalam perisa manisan, pencuci mulut dan kopi. Bahan perisa ini memberikan rasa manis dan aroma berkrim yang digemari ramai. Dalam makanan, bahan perisa ini dianggap selamat. Bahan ini boleh didapati dalam kek, ais krim dan manisan dan selamat untuk dimakan. Namun demikian, kajian makmal menunjukkan bahawa apabila disedut, bahan perisa ini boleh menyebabkan kerengsaan pada saluran pernafasan dan tekanan pada sel paru-paru. Lebih membimbangkan, kesan jangka masa panjang pendedahan berulang terhadap bahan ini masih belum difahami sepenuhnya. Dalam sains, ketiadaan bukti bahaya bukan bermaksud sesuatu bahan itu selamat.

Kajian juga menunjukkan bahawa kepekatan etil vanillin berbeza mengikut kategori perisa. Perisa buah biasanya mengandungi kepekatan yang lebih rendah, manakala perisa pencuci mulut dan kopi mengandungi kepekatan yang lebih tinggi. Hal ini bermakna pengguna perisa tertentu mungkin terdedah kepada risiko yang lebih besar tanpa menyedarinya kerana kepekatan yang lebih tinggi dalam perisa pencuci mulut dan kopi boleh menyebabkan pengguna terdedah kepada kandungan etil vanillin yang lebih tinggi. Kesan jangka masa panjang mungkin berlaku terutama apabila vap dihisap secara berterusan dan dalam jangka masa yang lama.

Apabila Dipanaskan, Bahan Kimia Berubah

Isu yang sering diabaikan ialah kesan pemanasan terhadap cecair vap. Apabila cecair ini dipanaskan dalam peranti vap, struktur kimia sesetengah bahan boleh berubah. Proses ini boleh menghasilkan bahan baharu yang lebih reaktif dan berbahaya. Antara bahan yang boleh terbentuk akibat pemanasan ialah asetaldehid (acetaldehyde), formaldehid (formaldehyde) dan akrolein (acrolein). Bahan ini dikenali sebagai perengsa kuat pada saluran pernafasan. Dalam pendedahan tertentu, bahan ini dikaitkan dengan keradangan paru-paru dan peningkatan risiko penyakit pernafasan.

Walaupun bahan ini mungkin hadir dalam kuantiti yang kecil, masalah sebenar ialah pendedahan berulang yang setiap hari. Sedutan kecil yang berulang-ulang boleh membawa kesan kumulatif yang masih belum difahami sepenuhnya oleh sains perubatan.

Vap dan Remaja: Isu Kesihatan Awam

Di Malaysia, penggunaan vap dalam kalangan remaja semakin membimbangkan. Reka bentuk peranti yang moden, warna yang menarik dan perisa manis menjadikan vap sangat mudah diterima oleh golongan muda. Tambahan pula, akses yang jelas dan jualan dalam talian tanpa kawalan ketat meningkatkan risiko penyalahgunaan. Remaja berada dalam fasa perkembangan otak yang kritikal. Pendedahan kepada nikotin pada usia muda boleh memberikan kesan jangka masa panjang terhadap fungsi kognitif, tumpuan dan kawalan emosi. Hal ini bukan sekadar isu pilihan individu, tetapi isu kesihatan awam yang memerlukan perhatian serius.

Perlunya Kefahaman, Bukan Penghakiman

Vap bukan isu hitam putih. Tidak dinafikan, ada perokok dewasa yang menggunakan vap sebagai langkah peralihan. Namun begitu, normalisasi tanpa kefahaman merupakan satu masalah besar. Apabila sesuatu amalan diterima secara sosial tanpa maklumat yang seimbang, risiko akan ditanggung oleh mereka yang paling tidak bersedia terutamanya golongan muda.

Pengguna berhak tahu bahan yang mereka sedut. Ibu bapa berhak memahami perkara yang menarik minat anak-anak mereka. Pembuat dasar pula perlu mendengar suara sains, bukan sekadar mengikut trend pasaran.

Pilihan Bijak Demi Masa Hadapan

Kesihatan ialah pelaburan jangka masa panjang. Perkara yang kelihatan menyeronokkan dan tidak berbahaya pada hari ini mungkin membawa kesan lain pada masa hadapan. Vap bukan sekadar isu rasa dan gaya hidup, tetapi isu kimia, biologi dan kesihatan awam. Dengan empati, ilmu dan pilihan yang bijak, masyarakat yang lebih sedar dan sihat bukanlah sesuatu yang mustahil. Usaha seperti Generasi Penamat (Generation End Game) wajar disokong demi melindungi generasi muda daripada risiko yang belum mereka fahami sepenuhnya.

Prof. Madya Dr. Noor Hazfalinda Hamzah,
Pensyarah Perubatan,
Program Sains Forensik,
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi