Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam dunia perubatan moden, antara cabaran terbesar termasuklah memastikan sesuatu bahan benar-benar selamat untuk otak manusia. Kaedah lama yang bergantung pada haiwan seperti tikus selama bertahun-tahun dianggap mencukupi, namun realitinya semakin tidak memadai. Otak manusia mempunyai struktur dan fungsi yang sangat berbeza berbanding dengan haiwan, membuatkan banyak keputusan ujian tidak menggambarkan kesan sebenar pada manusia. Oleh sebab inilah penyelidik terdorong untuk mencari pendekatan baharu, iaitu pendekatan yang mencerminkan biologi manusia secara tepat sejak dari awal.
Perbezaan antara otak manusia dengan haiwan semakin ketara apabila penyelidik membandingkan kerumitan sel, kepekaan terhadap bahan kimia dan cara otak bertindak balas terhadap tekanan. Neuron manusia, astrosit (astrocyte) dan mikroglia (microglia) bukan sekadar lebih besar atau lebih banyak, tetapi lebih aktif dan lebih kompleks. Dalam kebanyakan kes, haiwan bertindak balas secara berbeza terhadap toksin, menyebabkan keputusan ujian tidak tepat. Hal ini menimbulkan risiko, iaitu bahan yang selamat pada haiwan mungkin berbahaya pada manusia atau bahan berguna mungkin ditolak terlalu awal kerana hasil ujian haiwan yang mengelirukan.
Transformasi besar bermula apabila penyelidik menemui cara mengubah sel biasa menjadi sel stem teraruh. Daripada sel stem ini, mereka pelbagai sel otak manusia boleh dihasilkan. Dengan itu, penyelidik bukan lagi bergantung pada haiwan atau sampel otak sebenar. Sel stem membolehkan penyelidik membina model manusia secara langsung dan inilah yang memberikan lonjakan ketepatan yang tidak pernah diperoleh sebelum ini.
Antara sel paling penting yang boleh dihasilkan melalui teknologi ini termasuklah astrosit. Sel ini dahulunya dilihat sebagai pelengkap, tetapi kini menjadi pusat kawalan pelbagai fungsi kritikal. Astrosit manusia mengurus bahan kimia yang membolehkan neuron berkomunikasi, memastikan tenaga mencukupi serta membantu menjaga kestabilan persekitaran otak. Yang lebih menarik lagi, astrosit manusia jauh lebih kompleks daripada haiwan, menjadikannya model paling tepat untuk mengkaji kesan toksin yang mungkin tidak kelihatan apabila diuji pada tikus.
Kemajuan teknik kultur sel menjadikan model tiga dimensi (3D) semakin realistik. Model ini bukan lagi sekumpulan sel di dasar piring, tetapi tisu mini yang membentuk rangkaian kecil seperti otak. Ada model yang meniru penghalang darah otak, iaitu lapisan perlindungan penting yang menentukan bahan yang boleh masuk ke otak. Struktur halus ini amat mudah rosak akibat keradangan atau pendedahan terhadap kimia tertentu. Dengan model manusia, penyelidik kini boleh menonton “drama sebenar” proses kerosakan bermula dan berkembang.
Di samping model 3D, satu lagi inovasi menakjubkan ialah brain-on-a-chip. Inovasi ini merupakan cip kecil yang menggabungkan sel otak manusia dengan aliran mikro yang meniru persekitaran dalam tubuh. Neuron dan astrosit dalam cip ini bukan sekadar hidup tetapi berfungsi seperti rangkaian sebenar. Penyelidik dapat melihat proses sel berkomunikasi, cara toksin mengubah rentak isyarat dan keseluruhan sistem bertindak balas terhadap tekanan. Inovasi ini juga menjadikan kajian toksin jauh lebih dinamik, terperinci dan tepat.
Model sel stem membuka ruang untuk memahami dengan lebih mendalam cara bahan berbahaya merosakkan otak. Keradangan adalah antara kesan yang paling ketara. Dalam keadaan normal, mikroglia dan astrosit menjadi pelindung yang mengekalkan kestabilan otak. Akan tetapi, apabila terdedah kepada bahan tertentu, mikroglia dan astrosit boleh bertukar menjadi sumber kerosakan. Kedua-duanya melepaskan molekul radang yang mengganggu keseimbangan otak, melemahkan penghalang darah otak dan membawa kepada kematian neuron. Semua ini dapat dilihat secara langsung melalui model manusia, sesuatu yang sukar dilakukan sebelum ini.
Teknologi sel stem turut mengubah cara penyelidik memahami penyakit otak. Sel daripada pesakit boleh ditukar menjadi sel stem dan kemudian dijadikan sel otak. Dengan cara ini, penyelidik dapat melihat proeses penyakit bermula pada peringkat sel, walaupun tanpa memerlukan sampel otak sebenar. Penyakit seperti Alzheimer dan Parkinson kini boleh dikaji melalui sel pesakit itu sendiri. Hal ini membolehkan ujian ubat menjadi lebih tersasar dan relevan, kerana mencerminkan realiti biologi pesakit sebenar.
Trend penyelidikan kini semakin jelas, iaitu dunia sains bergerak ke arah model manusia sepenuhnya. Dengan adanya otak mini dan tisu 3D berasaskan sel stem, penyelidik boleh mengurangkan penggunaan haiwan. Kaedah baharu ini bukan sahaja lebih beretika tetapi juga lebih tepat. Ujian keselamatan menjadi lebih dipercayai kerana dilaksanakan berdasarkan sistem manusia, bukan haiwan. Bahan yang berpotensi berbahaya dapat dikenal pasti lebih awal, sementara bahan berfaedah tidak ditolak hanya kerana perbezaan biologi antara spesies.
Walaupun demikian, teknologi ini masih belum mampu meniru keseluruhan kerumitan otak sebenar. Otak manusia mempunyai rangkaian neuron yang tidak terbayang jumlahnya, dengan interaksi kimia yang bergerak tanpa henti. Model sel stem hanyalah gambaran kecil daripada realiti sebenar, namun sebagai alat penyelidikan, teknologi stem sel sudah membawa perubahan besar dan membuka pintu kepada penemuan baharu yang sebelum ini mustahil dicapai.
Dengan setiap sel stem yang ditukar menjadi sel otak, kita semakin mendekati pemahaman sebenar tentang cara otak bertindak balas terhadap ubat, bahan kimia dan penyakit. Teknologi ini seperti menghidupkan gambaran sistem otak di hadapan mata yang mendedahkan interaksi halus yang selama ini tersembunyi. Teknologi ini juga bukan sekadar alat penyelidikan, tetapi tetingkap ke dalam organ manusia yang paling misteri.