Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap kali tiba bulan Ramadan atau berpuasa sunat, perkara pertama yang terlintas di fikiran biasanya ialah rasa lapar, dahaga dan kesabaran menanti waktu berbuka. Namun begitu, tahukah anda bahawa di sebalik perut yang kosong itu, sebenarnya sedang berlaku pelbagai “keajaiban” dalam tubuh?
Sains hari ini mula membuktikan perkara yang telah diamalkan sejak beribu tahun dahulu. Puasa bukan sekadar tuntutan agama atau cara untuk mengurangkan atau mengawal berat badan, sebaliknya puasa juga merupakan satu kaedah penyembuhan paling berkesan dalam badan manusia. Bayangkan tubuh kita seperti sebuah mesin atau komputer yang bekerja tanpa henti selama 24 jam sehari, 365 hari setahun. Puasa ialah waktu untuk kita menekan butang set semula (reset) atau mula semula (restart) bagi memastikan mesin ini tidak rosak dan kembali berfungsi dengan lebih efisien.
Banyak orang bimbang jika tidak makan, otak akan menjadi lembab dan sukar untuk berfikir. Namun demikian, pengalaman orang yang berpuasa biasanya menceritakan hal yang berbeza. Selepas beberapa jam menahan lapar, minda selalunya lebih fokus dan tenang. Mengapakah perkara ini berlaku?
Kajian menunjukkan bahawa ketika berpuasa, tubuh mula menghasilkan protein yang dikenali sebagai Brain-Derived Neurotrophic Factor (BDNF). Pakar neurosains sering menyamakan BDNF sebagai “baja” untuk otak yang membantu dalam pertumbuhan sel otak baharu dan memperkukuh hubungan antara neuron (sinaps). Kesan daripada peningkatan BDNF bukan sahaja menjadikan kita lebih fokus, malah turut bertindak sebagai pelindung daripada penyakit mudah lupa apabila usia menginjak tua.
Selain itu, puasa juga membantu menstabilkan emosi. Tanpa gangguan turun naik gula yang mendadak akibat makan makanan manis atau berat sepanjang hari, mood kita menjadi lebih stabil. Kita tidak lagi mudah berasa cepat marah atau resah yang sering dikaitkan dengan ketagihan gula.
Proses ini merupakan antara kelebihan puasa yang paling luar biasa tetapi jarang-jarang didengari. Dalam badan manusia, terdapat jutaan sel yang bekerja setiap saat. Lama-kelamaan, sel ini akan menjadi rosak, tua atau tidak berfungsi dengan baik. Sel rosak ini jika dibiarkan berkumpul boleh menyebabkan pelbagai penyakit kronik dan mempercepat penuaan.
Apabila berpuasa melebihi 12 jam, badan akan memulakan proses pembersihan besar-besaran. Oleh sebab tiada makanan baharu yang masuk, badan akan mula mencari sumber tenaga dalam sel itu sendiri dengan memakan atau mengitar semula bahagian sel yang sudah buruk dan rosak untuk dijadikan tenaga. Hal inilah yang menyebabkan orang yang rajin berpuasa selalunya kelihatan awet muda, memiliki kulit yang bersih dan badan yang terasa lebih ringan.
Banyak rakyat Malaysia bergelut dengan masalah berat badan dan kencing manis. Hal ini berlaku kerana “enjin” badan sudah menjadi kurang cekap akibat tabiat makan yang tidak menentu. Setiap kali makan, badan akan mengeluarkan insulin untuk menguruskan gula tersebut. Jika kita makan sepanjang masa, insulin akan menjadi letih dan tidak lagi berkesan (rintangan insulin) seterusnya menyebabkan gula berkumpul dalam darah.
Puasa memberikan “enjin” ini peluang untuk berehat. Apabila tidak makan, tahap gula dalam darah akan menurun dan badan akan mula belajar cara untuk membakar lemak yang tersimpan lama sebagai pengganti tenaga. Proses ini bukan sahaja membantu menurunkan berat badan, tetapi juga membantu badan menjadi lebih sensitif dan cekap dalam menguruskan gula.
Kajian menunjukkan bahawa berpuasa sebenarnya boleh memperbaiki sistem imun atau pertahanan badan. Apabila berpuasa, badan akan cuba menjimatkan tenaga dengan melupuskan sel pertahanan badan yang sudah tua atau tidak lagi efisien. Apabila berbuka atau mula makan semula, badan akan segera menghasilkan sel pertahanan baharu yang lebih kuat dan lebih bertenaga untuk melawan kuman dan virus.
Kesan ini sangat penting untuk jangka masa panjang kerana membantu mengurangkan keradangan yang sering menjadi punca kepada pelbagai penyakit seperti sakit jantung dan sakit sendi. Dengan kata lain, puasa ialah cara badan membina “perisai” yang lebih tebal untuk melindungi diri daripada serangan penyakit.
Selain aspek fisiologi, puasa ialah latihan psikologi yang sangat berkesan. Puasa juga mengajar tentang perbezaan antara lapar sebenar dengan lapar akibat psikologi. Sering kali kita makan kerana bosan, stres atau sekadar mengikut nafsu. Dengan berpuasa, kita melatih prefrontal cortex, iaitu bahagian otak yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan dan kawalan diri. Keupayaan untuk menangguhkan kepuasan (delayed gratification) ini merupakan kunci kepada kejayaan dalam banyak aspek kehidupan yang lain.
Walaupun puasa sangat baik, kita perlu melakukannya dengan cara yang betul supaya tidak memudaratkan. Yang berikut ialah langkah mudah yang boleh diikuti:
Puasa ialah satu anugerah yang sangat bernilai untuk kesihatan manusia secara menyeluruh. Puasa bukan sekadar menahan lapar, tetapi satu proses pemulihan minda, pembersihan sel badan dan pengukuhan sistem pertahanan. Dengan mengamalkan cara pemakanan yang betul semasa berbuka dan bersahur, kita bukan sahaja mendapat pahala dan keberkatan, malah akan mendapati diri kita menjadi lebih sihat, lebih cergas dan lebih tenang berbanding dengan sebelum ini. Marilah kita menjadikan amalan puasa ini sebagai satu langkah menuju kehidupan yang lebih berkualiti.