Diterbitkan pada 9 Februari 2026, 11:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Isu malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia semakin meruncing apabila negara kini berdepan dengan fenomena beban berganda, iaitu kewujudan serentak masalah kekurangan pemakanan dan obesiti.

Hakikat ini didedahkan oleh pakar pemakanan terkemuka negara, YBrs. Profesor Dr. Poh Bee Koon dari Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dalam Syarahan Perdana beliau bertajuk “Menyingkap Realiti Malpemakanan Kanak-kanak dan Strategi Menanganinya” yang berlangsung di Bilik Senat, UKM, pada 6 Februari lalu.

Menurut beliau, data daripada South East Asian Nutrition Surveys (SEANUTS) I (2010–2011) dan SEANUTS II (2019–2021) yang diterajui olehnya menunjukkan bahawa corak pemakanan kanak-kanak Malaysia semakin kompleks dan mencabar.

Sedekad lalu, SEANUTS I mendapati prevalens berat badan berlebihan dan obesiti lebih tinggi berbanding dengan masalah kekurangan zat pemakanan dalam kalangan kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun. Pada ketika itu, 8.4 peratus kanak-kanak mengalami bantut dan 5.4 peratus kurus, manakala 9.8 peratus berlebihan berat badan dan 11.8 peratus obes.

Namun begitu, dapatan terkini SEANUTS II menggambarkan situasi yang lebih membimbangkan. Prevalens bantut meningkat kepada 8.9 peratus, manakala prevalens kurus meningkat kepada 6.7 peratus.

Keadaan lebih kritikal dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun, dengan 13.8 peratus mengalami bantut dan 11.4 peratus kurang berat badan. Walaupun terdapat sedikit penurunan kadar berat badan berlebihan (9.2%) dan obesiti (8.8%), beban ini masih dominan dan berpotensi memberikan implikasi kesihatan jangka panjang kepada negara.

Jelasnya,

Kanak-kanak hari ini membesar dalam persekitaran makanan yang obesogenik. Pengaruh makanan moden, makanan Barat serta trend makanan tular yang tinggi kandungan gula dan lemak telah menjadi norma baharu.

YBrs. Profesor Dr. Poh Bee Koon turut menegaskan bahawa kesan malpemakanan bukan sahaja terhad kepada individu, malah berpotensi membawa implikasi transgenerasi yang menjejaskan kesihatan generasi seterusnya.

Oleh hal yang demikian, intervensi perlu dimulakan seawal usia kanak-kanak dan remaja bagi memutuskan rantaian risiko kesihatan merentas generasi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa dapatan SEANUTS turut menunjukkan impak positif hasil reformulasi produk susu oleh industri. Usaha memperkaya produk dengan vitamin D dan kalsium telah menyumbang kepada penurunan ketara prevalens kekurangan vitamin D di Malaysia daripada 47.5 peratus pada tahun 2013 kepada 25.1 peratus pada tahun 2023.

Sebagai tokoh tersohor dalam bidang sains pemakanan, YBrs. Profesor Dr. Poh Bee Koon telah menerajui pelbagai projek penyelidikan berskala besar termasuk SEANUTS, ToyBox Study Malaysia, SEAAF Obesogenic Food Environment, Shaping Healthier Food Systems and Policy Environment in Asia serta kajian kolaboratif bersama-sama International Atomic Energy Agency (IAEA).

Sumbangan beliau turut diterjemahkan pada peringkat nasional melalui pelibatan dalam penyediaan Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia III (2016–2025), penggubalan Akta Profesion Kesihatan Bersekutu serta peranan sebagai Ketua Editor Malaysian Journal of Nutrition.

Pada peringkat antarabangsa, integriti dan kepakaran beliau diiktiraf melalui pelantikan sebagai ahli Technical Advisory Group on Human Energy Requirements di bawah Food and Agriculture Organization (FAO) dan IAEA bagi tempoh 2025–2027.

Syarahan Perdana ini menjadi satu seruan penting kepada pembuat dasar, ahli akademik dan ibu bapa agar lebih peka terhadap kualiti pemakanan kanak-kanak.

Strategi intervensi yang lebih menyeluruh dan berkesan amat diperlukan bagi memastikan generasi masa hadapan Malaysia bebas daripada belenggu malpemakanan dan mencapai potensi kesihatan yang optimum.

Syarahan Perdana YBrs. Profesor Dr. Poh Bee Koon turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor UKM, Pro Naib Canselor (Strategi & Kewatanan), Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Timbalan Dekan Fakulti Sains Kesihatan dan Profesor Fakulti Sains Kesihatan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi