Diterbitkan pada 3 Februari 2026, 12:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Program “Pulau Pinang Mengajar” terus memperkukuh usaha meningkatkan kemahiran literasi dan numerasi dalam kalangan murid, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan kumpulan rentan, melalui pelaksanaan kelas bimbingan berfokus di beberapa buah sekolah terpilih di negeri ini pada 31 Januari lalu.

Program yang digerakkan oleh Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) ini telah bermula sejak tahun 2019 dan dilaksanakan secara berterusan sebagai inisiatif intervensi pendidikan komuniti.

Tumpuan utama program adalah untuk membantu murid yang dikenal pasti lemah dalam penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira melalui bimbingan tambahan di luar waktu persekolahan.

Pelaksanaan dibuat secara berperingkat dengan penumpuan pada sekolah serta lokasi komuniti yang memerlukan sokongan pembelajaran tambahan. Kelas dijalankan dalam kumpulan kecil bagi membolehkan tenaga pengajar dan sukarelawan memberikan perhatian secara lebih dekat kepada setiap murid, di samping menyesuaikan pendekatan pengajaran mengikut tahap penguasaan individu.

Menurut wakil YIPP, Encik Muhammad Syafiq Ismail, program tersebut dirangka sebagai jambatan sokongan kepada murid yang memerlukan intervensi awal agar mereka tidak terus ketinggalan dalam pembelajaran asas.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan bimbingan berfokus dan pemantauan berterusan membantu menilai perkembangan murid secara lebih tersusun.

Ujarnya,

Matlamat utama program ini adalah untuk memastikan murid menguasai kemahiran asas terlebih dahulu, kerana di situlah terletaknya asas kepada pembelajaran seterusnya.

Selain pengukuhan akademik, program ini turut menitikberatkan aspek motivasi dan keyakinan diri murid melalui aktiviti pembelajaran yang dirancang secara interaktif dan mesra bagi mewujudkan suasana yang lebih positif serta menggalakkan minat untuk terus belajar.

Program ini merupakan satu inisiatif strategik dalam mengangkat Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030), khususnya bawah Teras Pembangunan Pendidikan-Strategi 3: Intervensi Keterciciran dan Pemerkasaan Kemahiran Membaca, Menulis dan Mengira (3M).

Melalui pendekatan intervensi yang tersusun dan berfokus, program ini diaplikasikan bagi menyokong usaha mengurangkan kadar keciciran pembelajaran dalam kalangan murid, terutamanya murid Melayu Islam di Pulau Pinang, tanpa menafikan prinsip keterangkuman pendidikan untuk semua.

Seorang sukarelawan, Cik Nisa, turut berkongsi pengalaman bahawa pelibatan secara langsung dalam program ini memberikan peluang kepadanya untuk membantu murid secara lebih bermakna.

Menurutnya, perubahan kecil dalam penguasaan membaca dan mengira memberikan kepuasan besar kepada sukarelawan kerana dapat melihat perkembangan murid dari semasa ke semasa selain menegaskan bahawa sokongan komuniti dan kesukarelawanan memainkan peranan penting dalam menjayakan program tersebut.

Kerjasama Yayasan Islam Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Zakat MAINPP, sukarelawan, sekolah dan komuniti setempat menjadi pemangkin kepada kelancaran pelaksanaan program tersebut.

Pendekatan turun padang ini membantu memperluas akses pendidikan sokongan kepada murid yang memerlukan perhatian tambahan.

Inisiatif seperti program ini dilihat sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan sedia ada, di samping memperkukuh peranan pendidikan komuniti dalam meningkatkan kesejahteraan sosial.

Usaha berterusan ini diharap dapat mengurangkan jurang pencapaian pembelajaran serta membuka peluang pendidikan yang lebih luas kepada golongan sasaran.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi