Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPeningkatan suhu persekitaran akibat perubahan iklim serta keadaan cuaca tropika menjadikan pendedahan haba satu risiko yang semakin ketara di tapak pembinaan. Pekerja binaan lazimnya menjalankan tugasan fizikal yang berat di kawasan terbuka dan terdedah secara langsung kepada cahaya matahari, sekali gus meningkatkan tekanan haba terhadap tubuh. Jika tidak dikawal dengan berkesan, keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan pekerja, malah berpotensi mencetuskan kemalangan di tempat kerja. Oleh itu, isu pendedahan haba wajar diberikan perhatian serius sebagai sebahagian daripada agenda keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam industri pembinaan.
Sebagai sebuah negara beriklim tropika panas dan lembap, Malaysia berdepan dengan cabaran unik dalam pengurusan risiko haba, khususnya dalam sektor pembinaan. Suhu persekitaran yang tinggi, tahap kelembapan yang ketara serta kekerapan gelombang haba yang semakin meningkat akibat perubahan iklim telah meningkatkan kerentanan pekerja terhadap kesan haba berlebihan. Walaupun kesedaran mengenai isu ini semakin meluas, pelaksanaan langkah pencegahan yang berkesan masih menghadapi pelbagai kekangan di tapak pembinaan.
Tapak pembinaan boleh dikategorikan sebagai persekitaran panas terbuka kerana pekerja terdedah secara langsung kepada sinaran matahari sepanjang waktu bekerja. Permukaan binaan seperti konkrit dan logam yang meluas di tapak pembinaan menyerap dan memantulkan haba, sekali gus meningkatkan suhu persekitaran melebihi bacaan termometer biasa.
Selain faktor persekitaran, aktiviti fizikal berat seperti mengangkat bahan binaan, memotong besi dan kerja pemasangan struktur meningkatkan penghasilan haba dalam tubuh. Gabungan pendedahan haba luaran dan beban kerja fizikal ini meningkatkan tekanan fisiologi, menyebabkan tubuh lebih cepat mengalami keletihan haba.
Bahaya haba lazimnya berkembang secara berperingkat dan sering tidak disedari pada peringkat awal. Antara bentuk bahaya haba yang biasa berlaku di tapak pembinaan termasuklah kelelahan haba dan strok haba. Kelelahan haba berlaku apabila tubuh gagal menyeimbangkan kehilangan cecair dan elektrolit akibat peluh berlebihan. Gejala awal yang dirasakan termasuklah pening, keletihan melampau, peluh berlebihan, kejang otot, rasa melayang serta kesukaran bernafas. Jika tidak ditangani segera, keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya strok haba.
Strok haba merupakan keadaan kritikal, iaitu tubuh kehilangan keupayaan untuk mengawal suhu badan. Tanda-tandanya termasuklah kulit panas dan kering, badan tidak lagi berpeluh walaupun dalam persekitaran panas, denyutan jantung yang cepat dan tidak teratur, kekeliruan, meracau, pengsan serta peningkatan suhu badan ke tahap berbahaya. Keadaan ini memerlukan rawatan segera kerana boleh membawa maut.
Bahaya haba memberikan kesan yang ketara terhadap kesihatan pekerja, sama ada dalam jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang. Dalam jangka masa pendek, pendedahan haba boleh menyebabkan dehidrasi, kejang otot, loya, pening, pengsan dan keletihan haba. Dalam kes yang lebih serius, pekerja berisiko mengalami strok haba yang boleh mengancam nyawa.
Sementara itu, menerui kesan jangka masa panjang, pendedahan berulang kepada haba melampau boleh memberikan tekanan berterusan kepada sistem kardiovaskular dan buah pinggang. Dehidrasi kronik yang kerap dialami oleh pekerja meningkatkan risiko gangguan fungsi buah pinggang, keletihan berpanjangan serta penurunan daya tahan tubuh, sekali gus menjejaskan kualiti hidup dan keupayaan bekerja dengan selamat.
Selain kesan fizikal, haba berlebihan turut menjejaskan keupayaan mental pekerja. Keletihan dan penurunan tumpuan boleh meningkatkan risiko kesilapan, sekali gus menyumbang kepada kemalangan di tapak pembinaan.
Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko bahaya haba dalam kalangan pekerja binaan. Antaranya termasuklah suhu dan kelembapan persekitaran yang tinggi, tempoh pendedahan haba yang panjang serta beban kerja fizikal yang berat. Faktor individu seperti tahap kecergasan fizikal, status hidrasi, usia dan keadaan kesihatan juga memainkan peranan penting.
Tambahan pula, kesan perubahan iklim telah menyebabkan gelombang haba berlaku dengan lebih kerap, dengan indeks panas yang boleh melebihi 40 darjah Celcius. Suhu malam yang kurang sejuk pula mengehadkan proses pemulihan tubuh, menyebabkan pekerja masih mengalami kesan haba apabila kembali bekerja pada keesokan harinya.
Walaupun cuaca panas tidak dapat dikawal, risiko bahaya haba boleh dikurangkan melalui langkah pencegahan yang sistematik dan berkesan. Antara langkah asas yang boleh dilaksanakan termasuklah memastikan hidrasi mencukupi dengan menggalakkan pekerja meminum air secara berkala tanpa menunggu rasa haus. Pengambilan air dalam kuantiti yang kecil setiap 20 minit hingga 30 minit membantu mengekalkan keseimbangan cecair tubuh.
Penyediaan waktu rehat yang terancang, terutamanya semasa tempoh panas terik antara pukul 12.00 tengah hari hingga 3.00 petang juga amat penting. Rehat perlu dilakukan di kawasan teduh bagi membolehkan suhu badan menurun. Selain itu, penggunaan pakaian kerja dan peralatan perlindungan diri yang ringan, berwarna cerah dan mempunyai pengudaraan yang baik dapat mengurangkan pengumpulan haba dalam tubuh.
Dalam pada itu, kemudahan sokongan seperti kawasan teduh, khemah, kipas kabus serta stesen air minuman yang mudah diakses turut menyumbang kepada keselamatan dan keselesaan pekerja. Perancangan kerja yang mengambil kira keadaan cuaca, termasuk menjadualkan kerja berat pada waktu pagi atau lewat petang juga merupakan langkah kawalan yang berkesan.
Pengurusan risiko haba memerlukan komitmen bersama-sama antara majikan dengan pekerja. Majikan bertanggungjawab menyediakan persekitaran kerja yang selamat melalui pengenalpastian risiko haba, pelaksanaan langkah pencegahan, penyediaan kemudahan asas serta latihan dan program kesedaran berkaitan bahaya haba dan tindak balas kecemasan.
Pekerja pula perlu mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan, mengamalkan tabiat kerja selamat seperti meminum air secara berkala dan berehat pada waktu yang ditetapkan serta menggunakan peralatan perlindungan diri dengan betul. Pekerja juga perlu peka terhadap tanda-tanda awal kelelahan haba dan segera melaporkannya kepada penyelia bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.
Pendedahan haba di tapak pembinaan merupakan risiko yang semakin signifikan dalam konteks iklim semasa dan sifat kerja industri pembinaan. Kesan terhadap fisiologi pekerja dan implikasinya terhadap keselamatan tidak boleh dipandang ringan. Dengan pengurusan risiko yang sistematik dan kesedaran yang tinggi dalam kalangan majikan serta pekerja, bahaya berkaitan haba dapat dikurangkan, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan mampan.
Oleh itu, pencegahan dan pengurusan risiko haba perlu dilaksanakan secara berterusan dan sistematik. Kerjasama erat antara majikan dengan pekerja, disokong oleh kesedaran dan pematuhan terhadap amalan keselamatan yang baik merupakan kunci utama dalam mengawal risiko ini. Dengan pendekatan yang proaktif dan bersepadu, keselamatan, kesejahteraan dan produktiviti pekerja di tapak pembinaan dapat dipelihara dalam jangka masa panjang.