Diterbitkan pada 26 Januari 2026, 15:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Akademi Sains Malaysia (ASM) membuka peluang kepada saintis muda negara yang berkelayakan untuk memohon Geran Penyelidikan Perubatan Dr Ranjeet Bhagwan Singh (RBS) 2026 yang bernilai hingga RM50,000.

Geran tahunan ini dinamakan bersempena dengan mendiang Dr Ranjeet Bhagwan Singh, seorang saintis penyelidikan perubatan terkemuka yang banyak menyumbang kepada pembangunan makmal diagnostik di Malaysia.

Selaras dengan visinya, dana ini ditubuhkan untuk menggalakkan pendidikan tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama, selain bertujuan untuk memberikan pembiayaan awal kepada penyelidik untuk membangunkan idea inovatif yang boleh menjadi asas permohonan geran yang lebih besar pada masa hadapan.

Pemohon hendaklah seorang saintis penyelidikan atau doktor yang merupakan warganegara Malaysia dan kini tinggal di Malaysia, berumur tidak melebihi 40 tahun pada 20 Mac 2026, mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dan sedang berkhidmat di institusi pengajian tinggi atau institut penyelidikan awam atau swasta di Malaysia.

Projek penyelidikan yang dicadangkan haruslah dalam bidang perubatan atau bioperubatan dan boleh disiapkan dalam tempoh dua tahun serta wang geran yang diperoleh hanya boleh digunakan untuk bahan penyelidikan, tidak termasuk perbelanjaan perjalanan, pembelian peralatan seperti komputer atau pencetak serta gaji kakitangan.

Dana akan disalurkan terus kepada institusi penerima melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Penerima geran perlu menghantar laporan kemajuan dan kewangan pada setiap enam bulan kepada ASM, laporan akhir perlu diserahkan dalam tempoh tiga bulan selepas projek tamat serta penyelidik juga dikehendaki menerbitkan sekurang-kurangnya satu artikel penyelidikan dalam jurnal yang diiktiraf.

Permohonan dibuka secara dalam talian mulai 19 Januari 2026 dan akan ditutup pada 20 Mac 2026 pada pukul 11.59 malam. Permohonan yang tidak lengkap tidak akan dipertimbangkan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Sekretariat RBS menerusi talian telefon 03-62030633 atau e-mel [email protected] atau melayari laman sesawang ASM.

Poster permohonan Geran Penyelidikan Perubatan Dr Ranjeet Bhagwan Singh 2026.
Kredit Foto: Akademi Sains Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi