Diterbitkan pada 23 Januari 2026, 12:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam era digital kini, kehadiran Kecerdasan Buatan (AI) telah membawa perubahan besar dalam pelbagai sektor, namun AI juga menjana persepsi negatif dalam kalangan individu dan organisasi. Lebih parah lagi, pemasalahan ini mendorong kepada kemeluatan AI. Kesangsian dan pemasalahan ini mesti didedahkan, dibincangkan dan ditangani dengan bijak bagi memastikan hasrat Malaysia menjadi negara berteknologi tidak terbantut.

Paradoks “Kehairanan dan Kebimbangan”

Malaysia telah memasang cita-cita untuk menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030. Kerajaan telah memasakkan AI sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan negara. Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 telah dilancarkan pada tahun 2022 yang menggariskan matlamat strategik untuk menyepadukan AI merentas sektor seperti pertanian dan perhutanan, penjagaan kesihatan, bandar pintar dan pengangkutan, pendidikan dan perkhidmatan awam.

Selain itu, Pelan Hala Tuju Bakat AI 2024-2033 pula telah dilancarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi yang bertujuan untuk memastikan Malaysia mengeluarkan graduan AI berkualiti tinggi sepanjang dekad yang akan datang.

Menurut Global Innovation Index 2024, Malaysia berada pada kedudukan 33 daripada 133 buah negara yang tersenarai dari segi tahap kesediaan menerima teknologi. Daripada 82 subpetunjuk indeks tersebut, Malaysia telah mengungguli tiga daripadanya, iaitu peratus graduan sains dan kejuruteraan, pengeksportan teknologi tinggi dan pengeksportan barangan kreatif.

Apakah senario terkini AI di Malaysia? Menurut IPSOS, rakyat Malaysia secara amnya bersikap positif tentang AI, malahan 75 peratus responden menyatakan bahawa teknologi tersebut telahpun mengubah kehidupan harian mereka bermula semenjak tiga tahun hingga lima tahun yang lalu. Negara Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia dan Singapura juga menunjukkan trend yang sama. Walau bagaimanapun, rakyat bagi dua negara maju, iaitu Jepun dan Amerika Syarikat tidak menunjukkan sikap yang sama seperti rakyat negara Asia Tenggara tersebut. Laporan IPSOS juga turut mendedahkan bahawa 63 peratus rakyat Malaysia percaya lambat laun AI akan mengambil alih pekerjaan mereka, sedangkan purata global hanyalah 36 peratus.

Perbezaan persepsi yang canggung tentang AI dalam kalangan rakyat Malaysia bukanlah kes setempat, malahan kini digelar sebagai fenomena “kehairanan dan kebimbangan”, satu paradoks sentimen optimisme dan bimbang wujud pada masa yang sama dalam kalangan orang awam, khususnya rakyat Malaysia.

Teknostres AI

Sentimen kebimbangan AI berhubung rapat dengan teknostres. Teknostres secara umumnya merujuk tekanan yang dialami oleh seseorang akibat penggunaan teknologi, terutamanya apabila teknologi berubah dengan pantas atau memerlukan penyesuaian yang tinggi. Dalam kes ini, teknologi yang dimaksudkan ialah AI. Teknologi baharu ini telah membawa perubahan besar dalam pelbagai sektor, namun turut membawa peningkatan teknostres dalam kalangan individu dan organisasi.

Pada tahun 2022, IBM Global AI Adoption Index telah mendedahkan hasil kajiannya yang menunjukkan bahawa pengunaan AI di tempat kerja sangat rancak pada peringkat global. Negara China dan India merupakan dua negara terkehadapan dalam implementasi teknologi tersebut di tempat kerja. Akan tetapi, yang memeranjatkan ialah negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Korea Selatan masih di bawah paras global (34%). Mengapakah perkara ini boleh berlaku?

Satu daripada penyebab utama rendahnya penyepaduan AI di tempat kerja bagi negara maju tersebut ialah isu teknostres yang perlu ditangani. Edward Segal telah menerbitkan sebuah artikel yang membincangkan isu berkenaan dengan judul “AI Adds to the Workload and Stress of Employees, Report Says dalam Forbes pada 23 Julai 2024. Pakar perhubungan awam tersebut melaporkan bahawa Upwork Research Institute and Workplace Intelligence mendapati majoriti pekerja yang ditinjau mengadu bahawa AI menyusahkan kerja mereka, iaitu 77 peratus pekerja melaporkan AI menambahkan tugas mereka, 39 peratus pekerja mengambil masa yang lama untuk menyemak atau memurnikan output yang dijana oleh AI dan 23 peratus memperuntukkan masa yang lebih untuk mempelajari AI.

Peratus tersebut merangkumi 2500 orang pekerja yang ditinjau, termasuklah pekerja yang bekerja sendiri dan eksekutif dari beberapa buah negara. Implementasi sistem AI selalunya memerlukan latihan yang meluas. Lantaran itu, pekerja yang terlibat mesti belajar menggunakan sistem baharu tersebut dan hal ini memakan masa, termasuklah masa untuk memasukkan data, memastikan ketepatan data yang dimasukkan serta menyelesaikan apa-apa masalah yang timbul semasa proses tersebut. Tambahan pula, sesetengah majikan mengharapkan AI dapat menyelesaikan masalah yang kompleks dengan serta-merta lalu menjurus kepada jangkaan produktiviti dan output yang tidak realistik. Apabila hal ini berlaku, beban kerja yang belum dilangsaikan akan jatuh semula kepada pekerja untuk disiapkan, hatta menambahkan tahap tekanan yang sedang mereka hadapi. Walaupun sistem AI menjanjikan penyelesaian yang cekap, namun masih memerlukan pemantauan dan pengesahan berterusan.

Dalam pada itu, pekerja yang ditinjau turut merekodkan bahawa 71 peratus daripada mereka menunjukkan kelesuan melampau, 65 peratus bergelut dengan tuntutan produktiviti majikan dan satu pertiga daripada mereka berkemungkinan berhenti kerja dalam tempoh enam bulan akan datang kerana beban kerja terlampau.

Belajar daripada Sejarah  

Fenomena kebimbangan AI bukanlah fenomena baharu. Fenomena kebimbingan seperti ini pernah wujud pada zaman Revolusi Perindustrian lalu, iaitu buruh manual secara beransur-ansur digantikan dengan mesin lantas menjana ketakutan yang dikenali sebagai kebimbangan automasi. Pada dasarnya, kebimbangan AI dan kebimbangan automasi mencerminkan kebimbangan akibat implikasi teknologi baharu yang tidak diduga. Kebanyakannya berkaitan dengan pengambilalihan pekerjaan dan kekeliruan peranan manusia. Kebimbangan automasi tertumpu terutamanya pada penggantian tugas manual dan berulang dan sebahagian besarnya terhad kepada industri tertentu seperti pembuatan dan pertanian.

Sementara itu, sistem AI mampu melakukan tugasan kognitif dan kompleks yang dikhaskan untuk manusia. Lantaran itu, kebimbangan AI bukan sahaja terhadap tugasan yang bersifat fizikal, remeh serta berulang, malahan melangkaui segala aspek kehidupan peribadi seperti komunikasi, membuat keputusan dan mengurus aktiviti harian.

Jadual 1  Perbezaan Kebimbangan Automasi dengan Kebimbangan AI.

Kebimbangan Automasi Kebimbangan AI
Takrifan Ketakutan berpunca daripada persepsi mesin akan menggantikan pekerjaan manusia, terutamanya dalam tugas manual dan rutin. Kebimbangan potensi AI yang besar dan kesannya yang meluas terhadap kehidupan masyarakat.
Tempoh Semenjak bermulanya Revolusi Perindustrian (akhir kurun ke-18) melewati era digital dengan emajuan robotik dan automasi. Muncul pada abad ke-21 menerusi kemajuan dalam pembelajaran mesin dan AI.
Sektor yang Terkesan Pembuatan, kerja pejabat yang rutin dan sebagainya. Hampir semua sektor termasuklah sektor kreatif dan sektor yang memerlukan pembuatan keputusan dan sebagainya.
Kebimbangan Utama Perpidahan pekerjaan, kejumudan kemahiran dan peralihan ekonomi. Perpindahan pekerjaan yang lebih menyeluruh termasuk yang memerlukan kemahiran tinggi, dilema etika, sistem AI yang mampu menawarkan kecerdasan dan kawalan melebihi keupayaan manusia.

Cabaran dan Penyelesaian

Cabaran terbesar bagi seseorang yang mahu berjinak-jinak dengan AI ialah semasa peringkat pembelajaran. Pada peringkat ini, beban tugas akan bertambah daripada beban yang sedia ada. Jadual yang terlalu sibuk akan membawa kepada kekecewaan akhirnya. Keadaan ini akan menjurus kepada gejala “kelumpuhan perfeksionisme”. Gejala ini timbul disebabkan oleh pengabaian keperluan manusia mengikut keutamaan. Teknologi mesti digunakan untuk membantu seseorang dan bukan sebaliknya. Lantaran itu, bagi menangani gejala kelumpuhan perfeksionisme ditambah pula dengan kesan terhadap kesihatan mental, pendekatan multidimensi yang merangkumi usaha profesional kesihatan mental, pengawal selia, jurutera, agensi  bukan kerajaan dan institusi pendidikan amat diperlukan. Oleh sebab kebimbangan AI berbeza daripada tekanan yang biasa, maka pendekatan yang komprehensif perlu diterapkan bagi menanganinya.

Pendekatan Menangani Kelumpuhan Perfeksionisme.

Tedapat beberapa organisasi yang telah berjaya melaksanakan pendekatan seperti yang diutarakan dalam rajah di atas. Umpamanya:

  • Hospital Cleveland merupakan satu daripada hospital tersohor di Amerika Syarikat. Hospital ini menggaji profesional perubatan, pentadbir dan pembantu untuk mengurus berjuta-juta pesakit setiap tahun. Hospital Cleveland mempunyai 48 ribu pekerja, tetapi masih menghadapi kekurangan sumber manusia. Apabila keadaan ini berlaku, kualiti penjagaan pesakit dan kepantasan pemprosesan dokumen menjadi perlahan selain timbulnya isu pekerja. Jabatan sumber manusia hospital berkenaan mengawal selia penggunaan AI  bagi menarik lebih ramai lagi calon untuk memohon.
  • Latham & Watkins (L&W), sebuah firma guaman tersohor di dunia. Para peguamnya menghabiskan masa berjam-jam untuk menyemak kontrak dan menganalisis kandungannya dengan teliti. Tugasan ini sangat penting, tetapi mengambil masa yang terlalu lama sehingga menjejaskan masa untuk berinteraksi dengan pelanggan. L&W menggunakan AI untuk mengimbas kontrak bagi mencerap dan menyediakan maklumat yang diperlukan oleh peguam organisasi berkenaan. Hasilnya, L&W dapat mengurangkan masa untuk menyemak  kontrak sebanyak 60 peratus.
  • Kajian Fernando (2024) mendapati bahawa AI dapat mengurangkan tekanan akademik dalam kalangan pelajar Sri Lanka, khususnya selepas AI diperkenalkan sebagai sebahagian daripada kurikulum.

Teknologi AI sudahpun di sini dan menjanjikan peningkatan produktiviti serta kepuasan pekerja secara amnya. Masyarakat Malaysia melihatnya dengan penuh harapan, tetapi berhati-hati akan keberkesanannya. Hal ini dikatakan demikian kerana AI juga menzahirkan persepsi yang sebaliknya, khususnya pada peringkat awal pembelajaran. Kebimbangan yang sama pernah timbul pada era Revolusi Perindustrian. Namun demikian, kita telah melalui era tersebut dan telah menerima mesin sebahagian daripada kehidupan kita hari ini. Berpandukan usaha yang telah dilakukan sewaktu era tersebut, kita perlu  memastikan bahawa AI sejajar dengan keperluan masyarakat dan nilai manusia. Dengan berbuat demikian, AI akan berfungsi sebagai alat yang membawa kemajuan teknologi dan menyumbang kepada masa hadapan yang bersandarkan kepada etika dan manusiawi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi