Diterbitkan pada 22 Januari 2026, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha memperkasakan penulisan saintifik dalam kalangan pelajar siswazah, Program Sarjana Sains Bioperubatan (Kerja Kursus), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Bengkel Penulisan Manuskrip Pelajar Sarjana Sains Bioperubatan.

Sekitar berlangsungnya Bengkel Penulisan Manuskrip Pelajar Sarjana Sains Bioperubatan.

Bengkel tersebut merupakan komponen penting dalam Program Sarjana Sains Bioperubatan (Kerja Kursus) yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kemahiran penulisan saintifik serta menyediakan pelajar dengan pemahaman yang jelas tentang struktur dan proses penerbitan manuskrip dalam jurnal akademik.

Menurut pihak penganjur, YBrs. Dr. Vanitha Mariappan, pendekatan bengkel yang interaktif memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kerana para peserta bukan sahaja memperoleh pemahaman teori, malah dipertanggungjawabkan untuk menilai dan memperbaik manuskrip mereka sendiri secara langsung.

Ujarnya,

Pendekatan ini adalah penting sebagai persediaan kepada proses penghantaran karya kepada pihak jurnal yang tepat serta meningkatkan keyakinan diri pelajar dalam arena akademik.

Beliau juga menyatakan bahawa program seumpama ini dapat menyemai minat yang lebih mendalam dalam kalangan pelajar terhadap penulisan ilmiah dan seterusnya menyumbang kepada budaya penyelidikan yang berkualiti tinggi.

Katanya,

Dengan adanya bimbingan daripada pakar dalam penulisan saintifik, para pelajar dijangka akan lebih bersedia untuk menerbitkan hasil kajian mereka pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Dalam dunia penyelidikan yang kompetitif pada masa ini, manuskrip yang bermutu bukan sahaja membuka peluang penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi, malah menjadi ukuran kredibiliti penyelidik, namun banyak pelajar masih menghadapi kekangan dalam menyampaikan hasil kajian secara sistematik serta memenuhi piawaian penerbitan antarabangsa.

Bengkel berkenaan juga memberikan pendedahan intensif tentang aspek penting penulisan manuskrip termasuklah cara menyusun pengenalan, metodologi, hasil kajian dan perbincangan yang profesional.

Para peserta turut dibimbing tentang strategi pemilihan jurnal yang bersesuaian, pematuhan garis panduan penulisan serta langkah berkesan untuk mengurus maklum balas kajian semula setara (peer review).

Dua orang pelajar siswazah Program Sarjana Sains Bioperubatan (Kerja Kursus), FSK, UKM sedang menghasilkan penulisan saintifik mengikut teknik penulisan yang betul.

Selain aspek teknikal, etika penerbitan turut diberikan penekanan khusus dalam program ini, sekali gus membolehkan penyelidik memahami prinsip integriti akademik demi memastikan karya yang dihasilkan bebas daripada konflik kepentingan, plagiarisme dan salah mentafsir data serta elemen kritikal dalam dunia penerbitan saintifik profesional.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi