Diterbitkan pada 15 Januari 2026, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bencana sering dikaitkan dengan peristiwa luar kendalian manusia serta sukar ditetapkan waktu, lokasi dan impaknya. Kesannya hanya dapat dilihat selepas insiden daripada statistik jumlah korban dan kemusnahan fizikal. Namun begitu, bencana tidak terbatas kepada bencana alam, tetapi juga merangkumi krisis yang melanda bidang teknologi.

Apabila membahaskan krisis teknologi, tidak lengkap sekiranya mengetepikan istilah khusus yang muncul dan andaian bencana global yang terjadi pada penghujung abad ke-20, iaitu Y2K.  Y2K didefinisikan sebagai gangguan pada sistem komputer disebabkan oleh kegagalan komputer mengenal pasti data menjelang tahun 2000 sehingga boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada pengguna komputer atau pepijat alaf. Perkataan Y2K merujuk satu akronim yang terdiri daripada beberapa abjad, iaitu huruf Y yang mewakili perkataan Year dan huruf K yang mewakili awalan Latin, iaitu Kilo bersamaan dengan nilai 1000. Gabungan tersebut membentuk istilah “Year Two Kilo” yang kemudiannya digunakan untuk merujuk tahun 2000 dan disingkatkan sebagai Y2K yang sinonim dengan kebimbangan berlakunya keruntuhan infrastruktur global.

Ellen Ullman dalam penulisannya, The Myth of Order berpendapat bahawa perisian komputer tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah luar jangkaan sama seperti sistem semula jadi. Hal ini memperlihatkan bahawa keupayaan manusia dalam mengendalikan teknologi adalah terhad dan memerlukan hipotesis tertentu bagi membolehkan penilaian masalah dibuat secara sistematik. Dalam krisis Y2K, masalah yang diramalkan berpunca daripada kegagalan pengekodan sistem berkomputer yang  menimbulkan malapetaka teknologi di seluruh dunia. Keadaan menjadi semakin huru-hara semasa dunia menghampiri penghujung abad ke-20. Berdasarkan andaian inilah timbul persoalan, benarkah masalah pepijat alaf hanya propaganda yang berpaksikan paradoks yang hakikatnya bertentangan dengan penerimaan pandangan umum? Adakah andaian ini bersifat paranoid, iaitu kecenderungan kepada ketakutan yang melampau? Penulisan ini bakal menjawab kedua-dua persoalan dengan mengambil kira penilaian kronologi sejarah, persediaan dan kesan selepas peristiwa tersebut benar-benar berlaku.

Beberapa pengkaji berpendapat bahawa masalah Y2K merupakan kesan sampingan daripada jangka hayat teknologi lama. Sejarahnya boleh dikesan kembali sekitar tahun 1960-an, storan pada komputer terhad, pengatur cara hanya menggunakan dua digit terakhir dalam penetapan tahun dengan singkatan 99 untuk 1999. Keadaan ini menjadi titik permulaan kepada penggunaan algoritma dua digit dalam sistem pengkomputeran dunia. Pengguna komputer ketika itu mula beranggapan bahawa sistem tersebut mungkin mentafsirkan 00 sebagai 1900 dan bukannya 2000.

Akibatnya, muncul kebimbangan bahawa ketidakupayaan komputer membuat pengiraan yang betul terhadap tempoh peralihan alaf bermula dari penghujung abad ke-20 ke awal abad ke-21. Bahkan kebimbangan terjadi jauh lebih awal sebelum bermulanya alaf baharu. Terdapat andaian bahawa masalah mungkin berlaku pada 9 September 1999 (9/9/1999) disebabkan penggunaan siri 9 sebagai angka terakhir sesebuah pengaturcaraan komputer. Ketakwajaran pengekodan tersebut seterusnya diandaikan mampu menjejaskan pelbagai sistem penting, daripada reaktor nuklear, rangkaian perbankan hinggalah kepada sistem kawalan trafik udara.

Penerbangan merupakan sektor pengangkutan paling kompleks yang terdedah kepada isu Y2K. Dalam kertas kerja yang bertajuk “FAA and Y2K: Will Air Travel be Stopped or Significantly Delayed on January 1st and Beyond?”, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan telah menyenaraikan pelbagai sistem yang berpotensi tinggi terjejas termasuklah kerangka utama, tempahan dan jadual penerbangan, sistem telekomunikasi antara menara kawalan dengan pesawat serta radar dan sistem kedudukan sejagat (GPS). Lebih memburukkan lagi, agensi penerbangan milik Amerika Syarikat tersebut melaporkan sebanyak 23 juta baris kod dalam sistem kawalan trafik udara yang berisiko besar sekiranya Y2K benar-benar terjadi. Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa  telah mengeluarkan amaran awal sebagai langkah berjaga-jaga, di samping menilai dan memperincikan skop permasalahan tersebut. Hal ini bertujuan untuk memastikan kawalan lalu lintas udara di seluruh dunia dan sektor pengendalian lapangan terbang antarabangsa mempunyai kesedaran dan persediaan awal terhadap gangguan akibat Y2K.

Di belahan dunia yang lain, media turut menggunakan propaganda untuk menakut-nakutkan khalayak tentang Y2K, memperlihatkan gambaran kegagalan sistem komputer sebagai malapetaka global. Zachary M. Loeb dalam kajiannya yang bertajuk Approaching Midnight: Y2K and The World as We Have Come to Know It menjelaskan bahawa media Barat memainkan peranan sebagai agen penyebaran propaganda dengan membesar-besarkan andaian ancaman pepijat alaf. Sebagai contoh, kandungan kartun The Simpsons musim 11 episod 4 yang bertajuk  Treehouse of Horror X: Life’s A Glitch, Then You Die disiarkan pada 31 Oktober 1999. Kartun edisi khas Halloween tersebut memberikan gambaran yang bersifat kontroversi terhadap keadaan awal tahun 2000-an. Siri tersebut memperlihatkan babak sarat dengan unsur hiperbola yang keterlaluan seperti kerosakan barangan eletronik, perkakas dapur, kebakaran dan nahas udara berskala mega. Spekulasi yang sama turut disiarkan dalam pelbagai saluran media lain termasuklah Time Magazine, Newsweek, The New York Times dan 60 Minutes. Tidak hanya itu, syarikat media secara berterusan menerapkan pendekatan sensasi pada muka hadapan akhbar yang menggambarkan seolah-olah dunia akan dilanda senario terburuk semasa ambang alaf baharu.

Krisis Y2K juga diumpamakan bom jangka yang berdetik kerana berpotensi menjejaskan rangkaian perbankan. Menurut kenyataan Bank Negara Malaysia bertarikh 27 Disember 1999, orang ramai dinasihatkan mengawalkan transaksi perbankan akhir tahun. Institusi kewangan tersebut telah mengumumkan bahawa 31 Disember 1999 (seluruh negara) dan 2 Januari 2000 (untuk Kelantan dan Terengganu) sebagai hari tiada transaksi atau hari tanpa urus niaga. Hal ini dilakukan demikian kerana keperluan menyediakan masa yang mencukupi untuk institusi kewangan menyelesaikan pemprosesan akhir tahun serta mencetak penyata dan laporan tambahan. BNM turut menubuhkan Pusat Kawalan Khas Y2K bagi menyelaras kesemua isu berkaitan Y2K dalam sektor kewangan, khususnya sepanjang tempoh kritikal, iaitu bermula 30 Disember 1999 hingga 4 Januari 2000. Pusat kawalan tersebut berfungsi  sebagai sistem sokongan untuk melayani pertanyaan orang ramai berhubung dengan sebarang isu berkaitan Y2K. BNM telah menyelaraskan proses ujian Y2K secara terperinci bagi memastikan sistem perbankan mematuhi persediaan Y2K sekali gus meminimumkan sebarang gangguan akibat masalah tersebut. Sehubungan dengan itu, orang ramai turut boleh menghubungi BNM melalui portal khas Y2K bagi mendapatkan maklumat penting seperti prosedur dan operasi sebelum, semasa dan selepas 1 Januari 2000.

Krisis Y2K mendorong banyak negara memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi tujuan pengemaskinian sistem, penilaian risiko dan penyediaan pelan kontigensi pada pelbagai sektor kritikal. Menurut Bruce Kratofil dan Keith Burbank, anggaran yang dikeluarkan oleh Gartner Group, sebuah organisasi penganalisis industri teknologi maklumat menunjukkan bahawa perbelanjaan global bagi menangani isu Y2K dianggarkan bernilai antara USD300 bilion hingga USD600 bilion. Sejajar dengan usaha global, Malaysia juga tidak terkecuali daripada menyediakan peruntukan khas kewangan bagi persediaan menghadapi isu Y2K. Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu mengumumkan keperluan negara meminta bantuan kewangan daripada Bank Dunia (IMF) sebagai tambahan peruntukan sedia ada sebanyak RM100 juta dalam Belanjawan 1999. Beliau berpandangan bahawa peruntukan tambahan tersebut bertujuan untuk menubuhkan Sekretariat Y2K bagi memantau isu serta mencari penyelesaian terhadap masalah berkenaan. Sokongan peruntukan daripada IMF turut membolehkan bantuan kewangan diberikan kepada syarikat swasta, khususnya Industri Kecil dan Sederhana bagi melaksanakan penyelidikan berkaitan Y2K serta menghasilkan penemuan baharu yang mampu mengatasi isu tersebut.

Realitinya, pasca-Y2K menyingkap keadaan yang amat bertentangan dengan ramalan ngeri yang dijangka sehingga penghujung abad ke-20. Selepas memasuki alaf baharu, dunia berjalan seperti biasa dan sistem teknologi tetap beroperasi secara normal, menafikan berlakunya krisis Y2K. Kenyataan The New York Times bertajuk “As Confetti Rained on Times Square, Y2K Bug Was a No-Show” melaporkan bahawa tiada pesawat yang terhempas dari langit pada 1 Januari 2000. Media antarabangsa turut mengeluarkan laporan bahawa peralihan alaf baharu berlaku tanpa sebarang masalah. Perkara tersebut disahkan oleh Badan Penyelaras Masalah Awal Tahun 2000 dan Pusat Operasi Kebangsaan Y2K. Keadaan tersebut menunjukkan bahawa kedudukan dunia pada keseluruhannya tidak terjejas oleh krisis pepijat alaf. Bersamaan dengan itu, muncul pandangan yang menyatakan bahawa Y2K hanya permulaan kepada trend rekaan fesyen futuristik yang mencerminkan keterujaan masyarakat terhadap teknologi kemajuan digital. Gaya berpakaian tersebut menampilkan unsur masa hadapan, penggunaan fabrik berkilat dan denim serta perhiasan yang berkilauan. Dalam konteks ini, seperkara yang tidak dapat dinafikan bahawa Y2K bukanlah krisis sebenar, sebaliknya rekaan pakaian dan trend fesyen semasa.

Demikianlah antara andaian yang memacu kekeliruan dan kebimbangan melampau yang sering digunakan untuk menggambarkan situasi peralihan milenium. Hakikatnya, kebimbangan tersebut hanyalah ramalan keruntuhan sistem berskala global yang dipropagandakan. Spekulasi kegagalan sistem komputer seolah-olah muncul pada waktu yang tepat, iaitu semasa peralihan alaf dan kemuncak Revolusi Industri 3.0 (1969 – 2010) menjadikannya sebagai “wabak” pepijat alaf kepada era pendigitalan moden. Pada masa yang sama, langkah mengatasinya termasuklah pengemaskinian perisian dan pengujian sistem dilaksanakan secara meluas oleh institusi kerajaan dan sektor swasta. Hal ini membuktikan bahawa salah tanggapan sedemikian berupaya mencetuskan ketakutan berasaskan pelbagai andaian tanpa sebarang justifikasi yang kukuh. Fenomena Y2K seharusnya dilihat sebagai cabaran digitalisasi dunia yang memerlukan proses penaiktarafan berterusan perisian komputer, bukannya teknofobia mahupun simptom kebimbangan yang melampau terhadap perkara yang tidak pasti.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi