Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Makerspace@UM dengan kerjasama Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS) berjaya menganjurkan Bengkel Amali Konfigurasi dan Pembangunan Rangkaian Meshtastic, menjadikannya antara sesi amali pertama seumpamanya di Malaysia.

Bengkel mini yang berlangsung di Universiti Malaya hari ini menghimpunkan kira-kira 50 pelajar universiti itu bersama-sama dengan sepuluh orang fasilitator daripada MARTS.
Peserta berpeluang membina rangkaian mesh sebenar tanpa bergantung pada sambungan Internet, sekali gus memperoleh pengalaman pembelajaran secara langsung dan teknologi terkini.
Timbalan Presiden MARTS, YBrs. Encik Zanirul Akhmal Zanirun menjelaskan bahawa bengkel ini berbeza daripada ceramah atau demonstrasi yang klise kerana menekankan pendekatan hands-on.
Semua peserta melakukan sendiri konfigurasi peranti, menghantar data telemetri serta menyelesaikan masalah teknikal yang lazim berlaku dalam pelaksanaan sebenar.
Fokus utama bengkel ini termasuklah pemahaman tentang liputan dan jarak rangkaian, di samping menilai kesan bentuk muka bumi serta garis pandang (line-of-sight) terhadap kebolehpercayaan mesh.
Peserta juga didedahkan terhadap peranan setiap peranti dalam rangkaian, cara peranti tersebut saling berhubungan dan menyokong komunikasi setempat.
Selain itu, bengkel tersebut turut menekankan penggunaan Message Queuing Telemetry Transport (MQTT) yang membolehkan aplikasi lanjutan seperti pemetaan dan pemantauan data dikendalikan dengan lebih berkesan.
“Teknologi rangkaian mesh membolehkan peranti berkomunikasi secara setempat tanpa Internet, menjadikannya sesuai untuk aplikasi Internet benda (IoT), telemetri sensor, rangkaian komuniti dan bandar pintar,” ujar Zanirul.
Dalam konteks Malaysia, bengkel ini turut menekankan pembangunan ekosistem mesh tempatan, termasuk kesedaran terhadap liputan sedia ada serta potensi penggunaannya bagi pemantauan alam sekitar, pengumpulan data komuniti dan aplikasi kecemasan.
Sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran, peserta diuji melalui cabaran mini untuk membina sambungan mesh yang berfungsi dan menghantar sekurang-kurangnya satu paket data telemetri sebenar.
Penganjuran bengkel ini diketuai oleh Pengarah, Makerspace@UM, YBhg. Profesor Dr. Sharifuddin Md Zain selari dengan inisiatif negara bagi mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan MyDIGITAL.
IR4.0 antara lain menekankan pembangunan kemahiran digital, IoT serta pengukuhan ekosistem pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar dan komuniti teknikal tempatan.