Diterbitkan pada 9 Disember 2025, 11:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Puchong – Seramai 42 orang pelajar Tahun 4 Program Sains Bioperubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berpeluang mengikuti lawatan akademik berimpak tinggi ke Fasiliti Mikroskop Elektron, Hi-Tech Instruments Sdn. Bhd. di Puchong, Selangor.

Lawatan ini turut disertai oleh dua orang pensyarah pengiring, YBrs. Prof. Madya Dr. Hing Hiang Lian, Timbalan Naib Canselor, First City University College dan pensyarah sambilan UKM serta YBrs. Dr. Vanitha Mariappan selaku penyelaras kursus Kaedah Makmal Mikrobiologi Lanjutan.

Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan program untuk memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar dalam bidang mikrobiologi dan penyelidikan bioperubatan.

Turut hadir ialah  YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohamed Salleh bin Mohamed Yasin, mantan Naib Canselor ke-9 UKM.

YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yasin bersama-sama  Prof. Madya Dr. Hing Hiang Lian sebagai penceramah mikroskop elektron.

Hi-Tech Instruments Sdn. Bhd. merupakan satu daripada penyedia peralatan saintifik utama di Malaysia yang mempunyai fasiliti mikroskop elektron berteknologi tinggi.

Syarikat tersebut telah memberikan sokongan berterusan kepada UKM dalam bentuk sumbangan kepakaran, demonstrasi peralatan serta peluang pendedahan industri kepada pelajar.

Dengan adanya kerjasama ini, pelajar diberikan ruang untuk mendekati teknologi yang selalunya hanya digunakan dalam makmal penyelidikan profesional.

Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat mengenai prinsip asas mikroskop elektron, termasuk perbezaan antara mikroskop elektron imbasan (SEM) dengan mikroskop elektron transmisi (TEM).

Wakil teknikal Hi-Tech Instruments Sdn. Bhd. turut menerangkan tentang keupayaan alat tersebut dalam memvisualisasikan struktur mikroorganisma, sel, tisu dan bahan biologi lain dengan resolusi yang jauh melebihi mikroskop cahaya konvensional.

Seterusnya, pelajar dibawa ke ruang persediaan sampel dan mereka diperkenalkan kepada proses yang perlu dilalui sebelum sesuatu sampel boleh dianalisis dengan menggunakan mikroskop elektron.

Antara prosedur penting yang diterangkan termasuklah penetapan sampel, dehidrasi, pengeringan titik kritikal serta teknik pemotongan ultrathin bagi pemeriksaan TEM dan memberikan gambaran jelas tentang kaedah persediaan sampel yang mempengaruhi kualiti imej akhir.

Wakil teknikal Hi-Tech Instruments Sdn. Bhd. menerangkan keupayaan TEM dalam memvisualisasikan struktur mikroorganisma.

Kemuncak lawatan ini ialah sesi pemerhatian imej sebenar dengan menggunakan mikroskop elektron. Pelajar berpeluang melihat sampel biologi yang telah disediakan sebelumnya, termasuk struktur bakteria serta komponen sel tisu.

Pengalaman ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman mereka terhadap konsep morfologi mikroorganisma, tetapi juga memperkukuh apresiasi terhadap teknologi visualisasi beresolusi tinggi dalam penyelidikan moden.

Selain itu, pegawai Hi-Tech Instruments Sdn. Bhd. turut berkongsi pengalaman industri mengenai penyelenggaraan peralatan saintifik, kepentingan kalibrasi serta peluang kerjaya dalam bidang instrumentasi analitik.

Perbincangan ini membuka perspektif baharu kepada pelajar mengenai laluan kerjaya alternatif yang berkait rapat dengan sains bioperubatan tetapi jarang-jarang diterokai secara mendalam di dalam bilik kuliah.

Lawatan ini diakhiri dengan sesi soal jawab dan perbincangan ringkas mengenai potensi kerjasama masa hadapan antara UKM dan Hi-Tech Instruments Sdn. Bhd. Lawatan ini seterusnya diharapkan dapat memantapkan pembelajaran sebenar bagi meningkatkan kompetensi pelajar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi