Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPepatah Melayu mengatakan,“bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Pepatah ini menggambarkan betapa kejayaan membentuk sahsiah dan kesejahteraan generasi muda bergantung pada kesepakatan serta peranan bersama seluruh masyarakat. Dalam dunia moden yang sarat dengan maklumat dan cabaran digital, pepatah ini semakin relevan apabila negara berdepan dengan peningkatan kes virus kurang daya tahan manusia (HIV) dalam kalangan remaja sekolah serta pelajar institusi pengajian tinggi.
Perubahan landskap jangkitan HIV kini menunjukkan bahawa kes baharu tidak lagi didominasi oleh penyalahgunaan dadah melalui suntikan. Sebaliknya, jangkitan ini didominasi oleh hubungan seks tidak selamat termasuk hubungan sejenis antara lelaki dengan lelaki (MSM). Fenomena ini berkait rapat dengan pengaruh dunia digital yang memberikan ruang yang luas kepada kandungan seksual, pornografi, aplikasi perkenalan tanpa batas dan norma sosial baharu yang mudah mempengaruhi remaja yang masih belum matang dalam membuat keputusan.
Internet hadir dengan pelbagai manfaat. Namun demikian, tanpa kawalan yang betul, Internet menjadi pintu kepada bahaya tersembunyi. Remaja hari ini membesar sebagai warga digital natif (digital natives), terbiasa dengan skrin, media sosial dan komunikasi global tanpa sempadan. Dengan hanya beberapa klik, mereka boleh mengakses laman web yang tidak sepatutnya, berhubung dengan individu yang tidak dikenali dan menyertai komuniti maya yang mendorong eksplorasi seksual awal.
Pendedahan seperti ini mengubah cara remaja memahami seksualiti. Pornografi memperlihatkan hubungan intim secara tidak realistik, memupuk rasa ingin mencuba dan menormalisasikan hubungan tanpa komitmen. Lebih membimbangkan, remaja yang mengalami tekanan emosi, kemurungan atau hubungan keluarga yang renggang sering menjadikan dunia maya sebagai tempat melarikan diri, lalu lebih mudah terdedah kepada interaksi seksual berisiko.
Kajian menunjukkan bahawa remaja yang kerap terdedah kepada pornografi mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk melakukan hubungan seks awal dan tanpa perlindungan. Hal ini meningkatkan risiko jangkitan HIV dan penyakit kelamin lain pada usia yang begitu muda.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, trend jangkitan HIV kini didominasi oleh transmisi seksual, menjadikan hubungan seks tidak selamat sebagai punca utama kes baharu setiap tahun. Peningkatan ini paling ketara dalam kalangan remaja dan belia, yang lebih terdedah pada tingkah laku berisiko. Perubahan ini turut berkait rapat dengan pendedahan awal terhadap pornografi, ketagihan media sosial, interaksi tidak terkawal di ruang digital dan kelemahan kemahiran membuat keputusan.
Sifat impulsif remaja, ditambah dengan tekanan rakan sebaya serta penggunaan Internet yang berlebihan, menjadikan mereka lebih mudah membuat keputusan berisiko. Kekurangan maklumat tentang keselamatan seks dan stigma membincangkan isu seksualiti turut menyumbang kepada kelemahan literasi kesihatan reproduktif. Situasi ini menandakan adanya keperluan mendesak untuk memahami realiti terkini dan menyesuaikan pendekatan pencegahan HIV mengikut cabaran era digital.
Pembentukan jati diri dan nilai moral remaja perlu bermula lebih awal sebelum mereka terjerumus ke dalam pengaruh digital yang tidak sihat. Di sinilah muafakat masyarakat sangat diperlukan.
Remaja yang menerima pendidikan seksual berasaskan nilai keluarga lebih berupaya membuat keputusan yang sihat. Ibu bapa perlu mewujudkan dialog terbuka tentang tubuh, hubungan dan risiko penyakit. Bimbingan mengenai nilai moral, hubungan sihat dan kesihatan reproduktif perlu disampaikan dengan pendekatan terbuka dan penuh kasih sayang. Suasana selamat untuk bertanya dan berbincang membantu remaja memahami isu seksualiti tanpa rasa malu.
Guru dan kaunselor memainkan peranan penting dalam menyediakan program kesedaran HIV, ceramah kesihatan reproduktif dan bimbingan psikososial secara sistematik. Pendidikan yang menekankan nilai empati, harga diri dan keselamatan dapat mengurangkan stigma serta memberikan maklumat tepat tentang keselamatan seksual dalam kalangan pelajar.
Komuniti dan institusi agama sebagai pembimbing nilai
Ceramah agama yang berteraskan prinsip Maqasid Syariah, aktiviti sukarelawan, kem jati diri dan program belia membantu membentuk kekuatan rohani serta identiti diri yang lebih kukuh. Komuniti yang berperanan aktif dapat menjadi benteng pertama dalam mengesan remaja yang berisiko dan memberikan sokongan sewajarnya.
Kajian psikologi menunjukkan bahawa aktiviti fizikal dapat membantu mengurangkan ketagihan Internet dan pornografi. Senaman merangsang pengeluaran endorfin yang membantu mengurangkan tekanan serta meningkatkan mood positif. Aktiviti fizikal seperti larian, bola sepak, renang, memanah atau perkhemahan bukan sahaja membina disiplin dan keyakinan diri, malah mengurangkan kebergantungan kepada skrin.
Remaja yang terlibat dalam aktiviti fizikal juga lebih cenderung untuk memiliki rangkaian sosial yang sihat, sekali gus mengurangkan kemungkinan terlibat dalam tingkah laku berisiko. Institusi pendidikan dan pihak berkuasa tempatan disarankan memperbanyak program sukan, pertandingan dan aktiviti luar untuk menarik minat remaja menyertai dunia sebenar, bukan sekadar dunia maya.
Remaja masa ini membesar dalam dunia yang serba pantas dan penuh godaan digital. Oleh itu, sebuah “ekosistem perlindungan” yang melibatkan pendidikan, sokongan emosi, pemantauan beretika dan jaringan komuniti perlu dibina bagi melindungi remaja daripada penularan HIV termasuklah perkara yang berikut:
Dengan pendekatan menyeluruh, kita bukan sahaja melindungi remaja daripada jangkitan HIV, tetapi turut membentuk generasi muda yang lebih bijak, beretika dan bertanggungjawab dalam mengurus kebebasan digital.
Dalam menghadapi gelombang baharu penularan HIV yang dipengaruhi dunia digital, kita perlu kembali kepada asas nilai masyarakat. Pendidikan bukan tugas satu pihak, tetapi tanggungjawab bersama, iaitu keluarga, sekolah, komuniti, pemimpin agama dan profesional kesihatan.
Seperti pepatah di atas, hanya dengan muafakat kita dapat membina benteng perlindungan yang kukuh untuk remaja Malaysia agar mereka membesar sebagai generasi yang sihat, bermaruah dan bebas daripada ancaman HIV.