Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKebanyakan rakyat Malaysia sememangnya sudah terbiasa dengan perkataan denggi kerana penyakit ini mencatatkan ribuan kes pada setiap tahun. Jangkitan denggi berlaku sepanjang tahun, terutamanya pada musim hujan yang menjadi masa aktif pembiakan nyamuk Aedes.
Secara saintifik, virus denggi tergolong dalam genus Flavivirus, bersama-sama beberapa virus lain seperti demam kuning, Zika dan Japanese Encephalitis. Kesemua virus ini merupakan penyakit bawaan nyamuk dan di Malaysia, penyebaran denggi lazimnya dikaitkan dengan Aedes aegypti dan Aedes albopictus.
Walau bagaimanapun, kebanyakan orang tidak mengetahui bahawa virus denggi terdiri daripada beberapa serotip yang berbeza. Lebih mengejutkan, individu boleh dijangkiti oleh lebih daripada satu serotip pada masa yang sama. Keadaan ini dikenali sebagai kojangkitan (co-infection) dan boleh menyebabkan gejala yang lebih parah berbanding dengan jangkitan tunggal (monoinfection).
Bayangkan, dua pasukan virus denggi menyerang tubuh manusia secara serentak. Sistem imun akan menjadi terbeban dan tidak mampu bertindak balas dengan berkesan, sekali gus meningkatkan risiko gejala yang serius seperti sindrom kejutan denggi dan demam denggi berdarah.
Tambahan pula, setiap individu mempunyai tindak balas tubuh yang berbeza terhadap jangkitan virus. Hal ini menjadikan kojangkitan sebagai isu yang agak membimbangkan.
Kojangkitan Denggi
Perbezaan genetik antara serotip denggi menyebabkan tahap keterukan gejala berbeza-beza bagi setiap jangkitan. Apabila seseorang yang pernah dijangkiti satu serotip dijangkiti semula oleh serotip lain, sistem imun yang terbentuk daripada jangkitan pertama tidak dapat memberikan perlindungan sepenuhnya. Keadaan ini meningkatkan risiko penyakit denggi yang lebih serius seperti demam denggi berdarah atau sindrom kejutan denggi.
Dalam konteks kojangkitan, kehadiran dua atau lebih serotip secara serentak boleh mengelirukan sistem pertahanan badan. Tindak balas imun menjadi tidak seimbang dan menghalang keberkesanan proses pembasmian virus.
Situasi ini berpotensi menyebabkan gejala yang lebih berat serta komplikasi terhadap organ dalaman. Walaupun kojangkitan bukanlah sesuatu yang luar biasa di negara tropika seperti Malaysia yang mempunyai pelbagai serotip aktif, gejala awalnya sering menyerupai jangkitan denggi biasa. Situasi ini menyebabkan masalah ini sukar dikenal pasti tanpa ujian makmal yang khusus.
Faktor Risiko Utama Kojangkitan di Malaysia
Sebagai negara endemik denggi, Malaysia berdepan dengan risiko kojangkitan yang tinggi di pelbagai kawasan. Nyamuk Aedes boleh dijangkiti lebih daripada satu serotip pada masa yang sama.
Apabila nyamuk betina matang menggigit manusia, virus daripada pelbagai serotip boleh dipindahkan serentak kepada perumah. Oleh itu, nyamuk berfungsi sebagai vektor intrinsik yang menyumbang kepada penularan kojangkitan di kawasan yang mempunyai keempat-empat serotip aktif.
Sektor pelancongan turut memainkan peranan dalam penyebaran kojangkitan. Malaysia menerima kedatangan pelancong dari pelbagai negara yang mungkin membawa serotip berbeza tanpa disedari.
Jika mereka berkunjung ke kawasan yang sedang mengalami penularan serotip lain, risiko kojangkitan akan meningkat. Nyamuk tempatan yang menggigit individu tersebut boleh seterusnya memindahkan virus kepada penduduk tempatan.
Pertumbuhan bandar yang pesat sering mewujudkan habitat baharu bagi pembiakan Aedes. Tapak binaan, longkang yang tersumbat dan kawasan perumahan padat menjadi lokasi yang ideal untuk nyamuk bertelur.
Apabila nyamuk dari pelbagai kawasan bercampur akibat aktiviti manusia, risiko penularan dua serotip berbeza meningkat. Hal ini menjadikan kojangkitan sebagai ancaman kesihatan yang serius di kawasan urban.
Peningkatan suhu, kelembapan dan taburan hujan yang tidak menentu turut mempengaruhi kitaran hidup nyamuk. Cuaca panas mempercepat proses penetasan telur dan meningkatkan keupayaan nyamuk untuk membawa beban virus yang lebih tinggi. Kajian juga menunjukkan keadaan ini mendorong penularan keempat-empat serotip denggi dalam satu kawasan secara serentak, sekali gus meningkatkan kemungkinan kojangkitan.
Walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dijalankan, sikap masyarakat yang sambil lewa terhadap kebersihan masih menjadi cabaran utama. Air yang bertakung di pasu bunga, bekas terbiar atau longkang yang tersumbat sering diabaikan.
Kebanyakan pihak menganggap bahawa tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran terletak pada pihak berkuasa semata-mata. Tambahan pula, kebergantungan terhadap semburan racun serangga sebagai langkah utama pencegahan kini semakin kurang berkesan kerana nyamuk Aedes telah menunjukkan ketahanan terhadap bahan kimia tersebut.
Kesan Kojangkitan terhadap Kesihatan
Kojangkitan meningkatkan risiko komplikasi yang serius dan menyukarkan proses diagnosis. Kehadiran lebih daripada satu virus boleh menyebabkan tindak balas imun yang terlalu aktif sehingga berlaku kebocoran plasma dan kerosakan organ dalaman. Pesakit kojangkitan biasanya menunjukkan gejala yang lebih lama, tahap platelet lebih rendah serta tanda pendarahan yang lebih awal berbanding dengan jangkitan tunggal.
Selain memberikan kesan kepada individu, kojangkitan turut menambah beban kepada sistem kesihatan awam. Hospital perlu menangani lebih banyak kes yang memerlukan pemantauan yang rapi serta tempoh rawatan yang lebih panjang, terutamanya ketika musim puncak jangkitan denggi.
Kepentingan Memahami Kojangkitan Denggi
Pemahaman tentang kojangkitan dan faktor risikonya bukan sekadar untuk kepentingan akademik, sebaliknya penting dalam usaha pencegahan dan pengurusan wabak. Pengetahuan tentang interaksi dua serotip dalam tubuh manusia membantu penyelidik menjelaskan sebab sesetengah pesakit mengalami gejala yang lebih teruk. Kefahaman ini juga penting dalam pembangunan vaksin yang mampu memberikan perlindungan yang menyeluruh terhadap semua serotip, memandangkan tindak balas setiap serotip berbeza apabila hadir serentak dalam satu perumah.
Selain itu, kesedaran terhadap risiko kojangkitan dapat memperkukuh sistem pengawasan penyakit pada peringkat kesihatan awam. Melalui pemantauan kawasan yang berisiko tinggi, tindakan pencegahan dan rawatan awal dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Secara keseluruhannya, kojangkitan denggi kini menjadi isu kesihatan awam yang semakin penting di negara tropika seperti Malaysia. Kepadatan penduduk, mobiliti manusia dan perubahan iklim yang sukar dijangka menjadikan risiko jangkitan berganda semakin meningkat. Walaupun tidak semua kojangkitan menyebabkan maut, hakikat bahawa dua serotip virus boleh “bekerjasama” untuk menewaskan sistem pertahanan manusia wajar diberikan perhatian yang serius.
Setiap kali air dibiarkan bertakung di halaman rumah, kita sebenarnya memberikan peluang kepada dua serotip virus untuk wujud bersama dan menyerang tubuh manusia secara serentak. Oleh hal yang demikian, dalam peperangan melawan denggi, pengetahuan dan kesedaran menjadi senjata yang paling berkesan. Pemahaman tentang kojangkitan juga akan membantu masyarakat untuk lebih bersedia bagi menghadapi ancaman dua serotip virus denggi yang menyerang pada masa yang sama.