Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan yang keenam, iaitu Air Bersih dan Sanitasi, program Water Run 2025 yang julung-julung kalinya diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) bertujuan untuk menyemai kesedaran tentang kepentingan air sebagai sumber kehidupan.
Program larian bertemakan air yang pertama di Pulau Pinang itu telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, YBhg. Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat.

Program berkenaan juga mencatatkan kejayaan luar biasa apabila berjaya menarik penyertaan sebanyak 1500 orang peserta yang melebihi sasaran asal berjumlah 300 orang, sekali gus membuktikan bahawa sambutan daripada para pelajar dan masyarakat setempat amat menggalakkan.
Program Water Run 2025 bukan sekadar acara sukan kerana program tersebut juga menjadi platform untuk memupuk gaya hidup sihat melalui aktiviti larian santai berkonsepkan keseronokan yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Pengerusi Persatuan Geografi Malaysia merangkap Penasihat Utama Kelab Geografi USM, YBrs. Profesor Madya Gs. Dr. Tan Mou Leong dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga terhadap semangat dan dedikasi para pelajar yang bertungkus lumus menjayakan program berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa air turut memainkan peranan utama dalam pembangunan ekonomi, kesihatan, industri, pertanian, keselamatan dan kelestarian ekosistem.
Pada masa yang sama, beliau turut menyeru semua pihak agar terus menyokong aktiviti yang dijalankan oleh Kelab Geografi USM serta pertubuhan yang berkaitan dengan alam sekitar bagi memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan air dan isu perubahan iklim.
Program tersebut turut menerima sokongan dan tajaan daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Water Watch Penang (WWP) dan M&M Tee Global yang membolehkan yuran penyertaan ditawarkan pada kadar mampu milik, di samping menyediakan hadiah cabutan bertuah yang menarik, termasuklah iPad dan baucar AEON bernilai RM100 kepada 10 orang pemenang.


Sokongan daripada PBAPP dan WWP amat signifikan memandangkan kedua-dua organisasi tersebut memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan air bersih berkualiti tinggi kepada rakyat Pulau Pinang, selain aktif melaksanakan kempen kesedaran awam mengenai penjimatan dan pengurusan air secara lestari.
Penganjuran program Water Run 2025 wajar menjadi langkah awal dalam menyemai kesedaran tentang pemuliharaan air bersih dan memastikan sumber air Pulau Pinang terus terpelihara untuk generasi akan datang.