Diterbitkan pada 3 November 2025, 13:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Dalam dunia moden yang sarat dengan teknologi digital, kehidupan manusia kini banyak bergantung pada media sosial, telefon pintar dan pelbagai aplikasi dalam talian yang menjadi sebahagian daripada rutin harian.

Perkembangan ini telah memperluas kemudahan dalam komunikasi, pendidikan dan pekerjaan, namun keterikatan yang berlebihan terhadap dunia maya menimbulkan cabaran baharu terhadap kesejahteraan mental, terutama dalam kalangan remaja.

Menurut Pakar Perunding Psikiatri di Salam Senawang Specialist Hospital, YBrs. Dr. Muhammad Hafriz Osman, kesejahteraan mental merujuk keupayaan seseorang untuk mengawal emosi, berhubung secara positif dengan orang lain, mengurus tekanan dengan baik dan berfungsi secara produktif dalam kehidupan seharian.

Beliau menjelaskan bahawa teknologi kini sebati dengan kehidupan manusia dan sukar untuk dielakkan, memandangkan hampir semua urusan harian daripada pendidikan hingga pekerjaan bergantung kepada kemajuan digital.

Tekanan sosial dalam talian turut menjadi isu yang semakin menonjol apabila ramai individu berlumba-lumba menampilkan imej yang sempurna dalam media sosial.

Menurut Dr. Muhammad Hafriz, budaya perbandingan sosial yang berlaku tanpa sedar boleh menghakis keyakinan diri, terutamanya apabila seseorang sering menilai kehidupannya berdasarkan pencapaian atau gaya hidup orang lain.

YBrs. Dr. Muhammad Hafriz Osman (kiri) ketika muncul dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia bagi membincangkan topik “Kesejahteraan Mental di Alam Digital” yang memberikan tumpuan kepada cabaran emosi masyarakat dalam dunia teknologi moden.

“Apabila seseorang itu terlalu kerap menelusuri media sosial, dia akan mudah membandingkan kehidupannya dengan kehidupan orang lain, hingga akhirnya timbul rasa tidak cukup, rendah diri dan kehilangan keyakinan,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Beliau turut menerangkan bahawa walaupun tiada penyakit khusus berpunca daripada penggunaan media sosial, kemurungan dan kerisauan sering dikaitkan dengannya.

“Antara tanda kemurungan termasuklah perasaan sedih berpanjangan, kehilangan minat terhadap aktiviti harian, gangguan tidur, rasa bersalah serta penurunan tenaga, manakala individu yang mengalami kerisauan lazimnya berasa letih, mudah marah dan berfikir secara berlebihan terhadap perkara yang belum berlaku,” hurainya lagi.

Dalam perbincangan yang sama, YBrs. Dr. Muhammad Hafriz turut mengulas tentang tabiat tatal lara atau doomscrolling, iaitu kecenderungan untuk melayari media sosial tanpa henti sehingga mengabaikan waktu tidur.

YBrs. Dr. Muhammad Hafriz Osman ketika menjelaskan kepentingan untuk mencari keseimbangan antara penggunaan teknologi dengan kesihatan mental.

Beliau menjelaskan bahawa tidur yang cukup membantu menstabilkan emosi dan meningkatkan daya tumpuan, justeru orang dewasa disarankan untuk tidur antara tujuh hingga sembilan jam pada setiap malam.

Menurutnya, dalam rawatan awal bagi masalah emosi, memperbetulkan corak tidur sering menjadi langkah utama kerana kestabilan emosi dan daya tumpuan bergantung pada rehat yang mencukupi.

Pendedahan berlebihan kepada cahaya skrin pada waktu malam pula menyebabkan otak kekal aktif, manakala kandungan beremosi atau sensasi dalam media sosial mengganggu proses rehat semula jadi seseorang.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa media sosial turut menawarkan ruang positif untuk menyebarkan ilmu, meningkatkan kesedaran dan mempromosikan kesejahteraan mental jika digunakan dengan cara yang seimbang.

YBrs. Dr. Muhammad Hafriz juga menyarankan agar masyarakat menetapkan had masa penggunaan gajet serta mewujudkan waktu bebas peranti, khususnya ketika makan atau bersama-sama keluarga bagi memelihara hubungan sosial yang sihat.

“Masa yang diluangkan bersama keluarga amat berharga kerana hubungan sosial yang baik menjadi asas kepada kestabilan emosi dan kesejahteraan hidup,” tambah beliau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi