Diterbitkan pada 29 Oktober 2025, 12:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Alam Sekitar (JAS) memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara seimbang dan berpaksikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang menjadi asas untuk segala tindakan dan tanggungjawab jabatan itu demi memelihara kualiti alam sekeliling negara sejak hampir lima dekad lalu.

Menyedari akan kepentingan isu kelestarian alam sekitar yang semakin menjadi keutamaan, rancangan Selamat Pagi Malaysia menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia menampilkan Pengarah Bahagian Penilaian, JAS, Tuan Norazizi Adinan untuk mengupas topik yang bertajuk “Melestarikan Pembangunan dalam Konteks Akta Kualiti Alam Sekeliling.”

Menurut Tuan Norazizi Adinan, JAS bukan sekadar agensi penguat kuasa, malah turut menjalankan usaha pencegahan, kawalan dan penghapusan pencemaran melalui pendekatan saintifik dan penggunaan data penyelidikan.

Katanya, langkah berkenaan bagi membolehkan jabatan tersebut meramal potensi kesan pencemaran serta melaksanakan tindakan awal bagi meminimumkan impak terhadap alam sekitar.

Di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, setiap projek pembangunan yang berpotensi memberikan kesan kepada alam sekitar diwajibkan menyediakan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) sebelum diluluskan oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar sebagai langkah pencegahan untuk memastikan setiap pembangunan tidak menjejaskan keseimbangan ekologi dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Pegawai JAS ketika menjalankan pemeriksaan di tapak projek bagi menilai laporan EIA.

Dalam sesi perkongsiannya juga, beliau menekankan bahawa pelibatan masyarakat adalah penting dalam memastikan pembangunan yang dijalankan bersifat inklusif dan lestari.

Ujarnya,

Orang awam digalakkan memberikan pandangan terhadap laporan EIA melalui sesi pameran awam bagi memastikan kepentingan sosial, ekonomi dan alam sekitar diambil kira sebelum sesuatu projek diluluskan, di samping pasukan penguat kuasa JAS turut menjalankan pemeriksaan berkala di tapak projek bagi memastikan pematuhan terhadap syarat kelulusan yang ditetapkan.

Menjelaskan peranan JAS dalam proses kelulusan pembangunan, beliau menyatakan bahawa jabatan itu hanya menilai dan meluluskan laporan EIA, manakala pemaju bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelaksanaan dan pembiayaan projek, termasuklah pelantikan perunding bertauliah.

Laporan EIA adalah penting agar impak pembangunan terhadap alam sekitar dapat dikurangkan.

Jelasnya,

Laporan yang disediakan akan dinilai oleh JAS bersama-sama agensi teknikal dan pakar yang berkaitan dengan mengambil kira maklum balas daripada orang awam yang diterima.

Sebelum mengakhiri sesi tersebut, beliau menegaskan komitmen JAS untuk memastikan setiap pembangunan di Malaysia menepati peruntukan undang-undang dan prinsip kelestarian.

Tegasnya,

Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 berperanan penting dalam memastikan pembangunan negara tidak hanya mengejar pertumbuhan ekonomi, tetapi turut mengekalkan keseimbangan ekologi demi kesejahteraan generasi pada masa ini dan akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi