Diterbitkan pada 21 Oktober 2025, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pendidikan dan pembudayaan keselamatan kini menjadi pendekatan utama dalam mengurangkan risiko kebakaran di Malaysia, seiring dengan kemajuan sains dan teknologi keselamatan awam.

Pendekatan ini diketengahkan menerusi Karnival Pencegahan Kebakaran 2025 yang berlangsung di Perkarangan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Putrajaya, dengan tema “Keselamatan Kebakaran Tanggungjawab Bersama”.

Program berskala nasional itu memperlihatkan komitmen JBPM mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap risiko kebakaran melalui aktiviti berbentuk pembelajaran, pengalaman interaktif dan demonstrasi sains kebombaan.

Ketua Pengarah JBPM, YBhg. Dato’ Seri Ts. Nor Hisham Mohamad menegaskan bahawa keselamatan kebakaran perlu dijadikan agenda nasional yang menuntut kesedaran berterusan, bukan hanya tindakan selepas berlakunya tragedi.

Ketua Pengarah JBPM, YBhg. Dato’ Seri Ts. Nor Hisham Mohamad merasmikan Karnival Pencegahan Kebakaran 2025 di Putrajaya.

“Kebakaran tidak mengenal sempadan dan setiap kejadian berisiko menjejaskan nyawa, harta benda serta kesejahteraan ekonomi,” ulasnya lagi.

Beliau menjelaskan bahawa tiga tonggak utama dalam strategi keselamatan kebakaran ialah pendidikan, pembudayaan dan penguatkuasaan yang saling melengkapi dalam membentuk masyarakat celik keselamatan.

JBPM memberikan tumpuan kepada pendidikan berasaskan sains dengan menerangkan prinsip asas kebakaran, kaedah pemadaman serta penggunaan alat pemadam api yang betul kepada masyarakat umum.

Karnival tersebut turut menampilkan pameran interaktif, pertandingan kebombaan, demonstrasi penyelamatan, kelas renang kanak-kanak serta sesi interaksi bersama anggota bomba bagi memperkenalkan teknologi dan kemahiran yang digunakan dalam operasi sebenar.

Pertunjukkan tatacara penggunaan alat pemadam api membolehkan pengunjung mengetahui dengan lebih dekat penggunaan alat pemadam api yang betul.

Program ini menjadi jambatan pengetahuan antara pasukan penyelamat dan masyarakat melalui pengalaman langsung tentang sains di sebalik tugas kebombaan.

Sementara itu, JBPM meneruskan Program Pendidikan Kesedaran Kebakaran di sekolah dan komuniti seluruh negara melalui ceramah, simulasi dan bahan bantu belajar interaktif.

Program ini memberikan tumpuan kepada pelajar, guru dan pemimpin masyarakat bagi membina generasi yang memahami sains keselamatan serta mampu bertindak secara rasional ketika kecemasan.

Setakat ini, lebih 250 000 pelajar dan pemimpin komuniti telah menyertai program tersebut yang membentuk kefahaman baharu tentang konsep keselamatan sebagai budaya hidup.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi