Diterbitkan pada 19 Oktober 2025, 09:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Lebih daripada 400 orang peserta dalam kalangan masyarakat setempat dari pelbagai peringkat usia telah menyertai aktiviti larian santai PKNP Diamond 5 KM Run 2025 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dengan kerjasama Adham Bike Centre (ABC) Event, semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, YBhg. Dato’ Mohd Faizal Jaafar, penganjuran aktiviti larian santai tersebut bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat, selain mengeratkan hubungan silaturahim antara anggota pekerja PKNP, ahli keluarga dengan masyarakat setempat di sekitar Kuantan.

Beliau juga menyatakan bahawa aktiviti larian santai tersebut merupakan antara pengisian bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-60 Penubuhan PKNP yang bakal disambut pada 27 Disember 2025.

Acara pelepasan aktiviti larian santai dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, YBhg. Dato’ Mohd Faizal Jaafar.

Sementara itu, peserta larian, Encik Ahmad Bahrurrazzi Abas yang telah menyertai pelbagai acara larian termasuklah pada peringkat antarabangsa berkata, pelibatannya secara aktif dalam aktiviti larian telah bermula sejak sekolah rendah lagi.

Katanya,

Berlari ialah hobi saya kerana aktiviti ini berupaya membantu saya untuk menjaga kesihatan jantung dan paru-paru serta meningkatkan metabolisme dan stamina serta memberikan peluang kepada saya untuk mengumpulkan baju larian dan pingat acara yang unik dan menarik.

Para peserta ketika memulakan acara larian santai.

Seterusnya, Puan Nursyazulwani Dzulkefly yang turut menyertai aktiviti larian santai tersebut berkata, beliau menganggap bahawa kejayaan setiap kali menamatkan aktiviti larian telah menjadi pemangkin semangat kepada dirinya untuk terus berusaha dalam apa-apa jua perkara yang dilakukan.

Menurut Encik Ahmad Rashdan Jamsari yang menyertai aktiviti larian santai tersebut bersama-sama isteri dan anaknya pula, aktiviti riadah seumpama ini sangat baik kerana seluruh ahli keluarga tanpa mengira usia boleh menyertainya.

Antara peserta yang menyertai acara larian santai bersama-sama ahli keluarga masing-masing.
Terdapat peserta yang berpakaian mengikut tema perayaan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKNP, YBhg. Datin Hajah Noraskin Jamaludin dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNP, Encik Mohd Razif Abdul Malek.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi